Khamis, 19 Oktober 2017 | 3:17pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama peserta MyCorps ketika majlis pelancaran program MyCorps Asia Selatan Misi 1/2017 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras. - Foto Asyraf Hamzah

KBS lancar misi kelima MYCorps

KUALA LUMPUR : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan misi kelima program MYCorps dengan menghantar 40 sukarelawan Malaysia ke Sudan dan Lubnan, untuk misi kemanusiaan pada 24 Disember ini hingga 3 Mac tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pihaknya merancang menghantar sukarelawan belia bagi membantu pelarian Syria di dua wilayah itu.

Katanya, ia susulan kejayaan empat misi sukarelawan MYCorps yang dihantar ke Kemboja, Syria, Bangladesh dan Sri Lanka yang mengubah kehidupan masyarakat tertindas di negara berkenaan.

"Sehubungan itu KBS memerlukan sumbangan orang ramai termasuk harapan kita untuk diberi peruntukan Bajet 2018 bagi menjayakan misi kemanusiaan MyCorps serta pelbagai lagi program untuk golongan belia pada tahun depan.

"Penyertaan sukarelawan dibuka untuk belia yang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun meliputi bidang perubatan, pendidikan, komunikasi, publisiti, pembinaan dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program MyCorps Asia Selatan Misi 4/2017 di Pusat Belia Kebangsaan di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan plak dan sijil penyertaan kepada 40 sukarelawan yang menyertai misi keempat program MyCorps di Sri Lanka dan Bangladesh dari 20 Ogos hingga 18 Oktober lalu.

Terdahulu, dana sebanyak RM120,000 berjaya dikumpul bagi menjayakan misi keempat program MYCorps yang dimanfaat untuk pelbagai projek seperti membina sistem penapisan air, menaik taraf masjid dalam usaha meningkatkan sistem pengurusan kebersihan selain bantuan pendidikan.

Sementara itu, Khairy berharap program MyCorps dikenali ramai setaraf US Peace Corps yang mampu bergerak ke serata dunia.

"Program antarabangsa itu mempunyai peruntukan kewangan yang kukuh sehingga mampu melaksanakan pelbagai aktiviti dalam tempoh lebih lama sehingga enam bulan.

"Setakat ini, keupayaan dan peruntukan hanya mampu melaksanakan program oleh 40 peserta dalam tempoh dua bulan sahaja," katanya.

Berita Harian X