Khamis, 19 Oktober 2017 | 7:18pm

Kerajaan perkenal Strategi 'Cloud First'

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan Strategi 'Cloud First' (Perkomputeran Awan Pertama) dalam agenda nasional, bermula dengan sektor awam, ke arah transformasi digital dalam organisasi kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perkomputeran awan akan membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan yang inovatif kepada rakyat dengan lebih cepat tanpa perlu menanggung perbelanjaan besar untuk pelaburan kemudahan teknologi maklumat seperti pusat data, pelayan dan penstoran.

"Ini membolehkan kerajaan untuk memperuntukkan sumber bagi program yang lebih memberi impak kepada rakyat.

"Pelaksanaan strategi ini membuktikan kerajaan mengambil langkah menerajui transformasi digital," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-29 di Perdana Putra di sini, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan Rangka Kerja Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan, yang akan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan ini adalah peluasan kepada Rangka Kerja Analitik Big Data (BDA) Kebangsaan.

Dalam peringkat industri yang lebih besar, kerajaan katanya, akan mewujudkan Program Pemecutan Transformasi Digital (D-TAP) untuk syarikat besar dan pertengahan yang akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 63.4 peratus.

"Bagi mempercepatkan transformasi, kita akan melantik Makmal Transformasi Digital untuk menyediakan khidmat rundingan dan membantu dalam prototaip produk dan perkhidmatan digital baharu.

"Makmal ini kemudian akan memadankan syarikat yang mengambil bahagian dan syarikat digital," katanya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-29 di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X