Sabtu, 21 Oktober 2017 | 5:33pm

Panas terik kesan tempias Taufan Lan

KUALA LUMPUR : Cuaca panas terik melanda Semenanjung ketika ini, dijangka berterusan sehingga minggu depan, susulan tempias Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina pada Selasa lalu.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata badai taufan itu diibarat menghempaskan 'ekor' ke Sabah, Labuan dan Sarawak sehingga menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, fenomena hujan lebat dan angin kencang adalah kesan peralihan kelembapan udara Semenanjung yang diangkut ke kawasan berdekatan taufan, terutama Sabah.

"Semenanjung menjadi kurang berawan, cuaca stabil dan insolasi (radiasi pancaran matahari) dan suhu meningkat.

"Cuaca panas akan berterusan beberapa hari untuk keadaan cuaca musim peralihan monsun kembali. Dijangka ia menyebabkan keadaan berawan dan hujan pada lewat petang," katanya kepada BH.

Beliau mengulas fenomena cuaca panas kering yang dianggarkan melebihi 33 darjah celsius, melanda ibu kota dan Semenanjung sejak Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Fredolin menjelaskan, pergerakan Taufan Lan menjauhi sempadan negara menjadikan cuaca di Sabah dijangka semakin baik.

Beliau menepis dakwaan Taufan Lan akan melanggar Sabah kerana pergerakan taufan itu dilaporkan sudah menghampiri Okinawa, Jepun.

"Secara teori, Taufan Lan tidak akan melalui Sabah, kerana kedudukan negeri bawah bayu dekat dengan garisan Khatulistiwa.

"Bagaimanapun, apabila taufan muncul di timur Filipina, tiupan angin menjadi kuat. Sabah dipengaruhi "ekor" taufan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, tidak mengesan sebarang cerapan silkon tropika.

MetMalaysia masih mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora tahap dua, yang dijangka angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dan ombak sehingga 4.5 meter di perairan Kudat, Sabah sehingga hari ini.

Amaran angin kencang dan laut bergelora tahap satu, dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter dijangka melanda perairan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan) turut dijangka berterusan sehingga hari ini.

"Ribut petir dijangka berterusan hingga lewat petang ini di perairan Terengganu, Pahang, Johor Timur, Labuan serta Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah.

"Keadaan ini menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil," katanya.

ends

Berita Harian X