Isnin, 23 Oktober 2017 | 6:28pm
KETUA Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin beramah mesra dengan kanak-kanak pada program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-Kanak Autisme Siri Ke-2 Tahun 2017 anjuran Jabatan Penerangan di Pusat NASOM Cawangan Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA

Bajet18: NASOM harap kerajaan beri peruntukkan RM4 juta

IPOH: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta melalui Bajet 2018 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Presidennya, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin, berkata peruntukan itu bagi menampung keperluan pembangunan pendidikan anak golongan autisme yang sememangnya memerlukan kos yang tinggi.

"Kita membelanjakan sebanyak RM7 juta setahun (kos pembangunan kanak-kanak autisme) tetapi kutipan termasuk sumbangan dan bantuan yang diperolehi hanya berjumlah RM3 juta.

"Kita sememangnya menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak, namun masih tidak mencukupi kerana perbelanjaan membabitkan terapi bagi kanak-kanak autisme ini memerlukan kos tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-Kanak Autisme Siri Ke-2 Tahun 2017 anjuran Jabatan Penerangan di Pusat NASOM Cawangan Ipoh di sini hari ini.

Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, turut membuat lawatan ke program itu yang disertai oleh wakil pelbagai agensi media massa di negeri ini.

Megat Ahmad Shahrani berkata, setakat ini terdapat 23 pusat NASOM beroperasi dengan seramai 600 kanak-kanak autisme berada di bawah didikan pusat berkenaan di seluruh negara.

Katanya, NASOM memang bercadang membuka lebih banyak pusat berkenaan, tetapi ada kekangan dana bagi pengendaliannya, terutama tenaga guru dan membeli peralatan.

"Seorang guru hanya boleh mendidik dua atau tiga pelajar autisme, mereka (kanak-kanak autisme) perlukan fokus 'one to one' (seorang guru, seorang pelajar), jadi ini memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, program Grafiti Negaraku Media Massa Bersama Kanak-Kanak Autisme bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak autisme menerusi lukisan.

Katanya, ia juga menyediakan pentas untuk kanak-kanak autisme mempamerkan kebolehan dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat terhadap permasalahan golongan berkenaan.

"Saya percaya ramai lagi anak autisme yang tidak diketengahkan untuk mendapat pendidikan khusus, kerana ada ibu bapa tidak tahu apa yang dihadapi oleh anak mereka itu adalah autisme, sebaliknya menganggap anak mereka kurang siuman, kena 'ketegur atau saka," katanya.

28 dibaca
Berita Harian X