Selasa, 24 Oktober 2017 | 12:28pm
PEMANGKU Raja Pahang,Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia-Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Penyanyi Tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Siti Nurhaliza kini Datuk Seri

PEKAN: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin antara 101 penerima darjah kebesaran sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Siti Nurhaliza menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Istiadat pengurniaan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Antara 27 penerima SSAP lain adalah Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Md Yunos; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohamad Mentek; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar.

Selain itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam negeri, Datuk Sabin Samitah dan pelakon, Datuk Eizlan Yusof.

Pengarah Eksekutif THSB Services Sdn Bhd, Datuk Mohd Azwan Abdul Malil pula menjadi penerima tunggal Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Seramai 13 individu menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) membawa gelaran Datuk, antaranya Pengarah Besar FELDA, Ab Ghani Mohd Ali dan Panglima Wilayah Udara 1 TUDM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Faudzi Ahmad.

Selain itu, Inspektor Jeneral Tentera Udara Markas Tentera Udara, Datuk Johar Razali Ahmad; Ketua Cawangan Khas Pahang, Deputi Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Sahabudin Abd Manan.

Seramai 59 menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk, termasuk Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Udara, Datin Dayang Halimah Awang Drahman dan Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.

Selain itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, Ir Azman Ab Majid serta Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Noor Mohamad Akmar Mohd Dom.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik (STING) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed; Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Datin Asmawati Ahmad dan Pengarah Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rumainor Sarif.

Berita Harian X