Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:14pm

Peruntukan selenggara, baiki rumah terbengkalai

KUALA LUMPUR: Aspek penyelenggaraan, pembaikan dan rumah terbengkalai diberi tumpuan kerajaan dalam Bajet 2018, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bagi menyelenggara dan membaiki rumah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta termasuk dalam Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

Bagi rumah terbengkalai, katanya, kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman bagi memudahkan rakyat menyelesaikan masalah itu.

"Surat cara pindah milik diberi kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuat kuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

"Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim pembiayaan step-up akan diperkenalkan oleh Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

"Skim berkenaan turut dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Berita Harian X