Jumaat, 27 Oktober 2017 | 11:24pm

Media Prima raih 12 anugerah pemasaran cemerlang

KUALA LUMPUR: Syarikat media integrasi terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (MPB) meraih 12 pengiktirafan utama pada Anugerah Pemasaran Cemerlang 2017 di sini, malam tadi.

Syarikat media itu menerusi Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), menguasai anugerah itu apabila menerima enam emas, dua perak dan empat gangsa bagi beberapa kempen utamanya.

Antara kempen pemasaran yang menerima anugerah emas adalah Lipton Hanya Kaw Untukku (Cemerlang dalam Strategi Penjenamaan dan Pandangan Pengguna/Kajian Pasaran), Mamee Monster Activating Biskidz with Ejen Ali (Cemerlang dalam Pemasaran Mudah Alih) dan Tahun Baru Cina 2017 -Gong Xi Fatt Zai (Cemerlang dalam Pembabitan Pelanggan).

Kempen Mamee Monster Activating Biskidz with Ejen Ali turut menerima anugerah perak bagi kategori Cemerlang dalam Pemasaran Digital dan Pemasaran Inovatif.

Lipton Hanya Kaw Untukku pula turut menerima anugerah gangsa bagi kategori Cemerlang dalam Strategi Media dan Pengaktifan Penajaan.

Kumpulan media itu menerima penganugerahan bagi kempen dalaman, pelanggan dan agensi rakan kongsinya, hasil kemampuan menawarkan pendedahan jenama, penyelesaian kreatif dan penggunaan pandangan penonton secara strategik serta tawaran media untuk inisiatifnya.

Pengiktirafan diterima MPTN itu adalah hasil keupayaan memahami kehendak penonton susulan kejayaan menjadi pilihan sebahagian besar penonton Melayu dan Cina sejak 30 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, anugerah yang diterima itu adalah pengiktirafan kepada MPB yang bukan saja bersaing dengan rangkaian media lain, malah pemain integrasi media, media sosial dan ruang digital.

"Ini adalah hasil perjalanan transformasi strategik yang kami lalui untuk menjadi peneraju penyedia platform media integrasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Studio8, Jualan dan Strategi Kumpulan Perkhidmatan Pelanggan MPTN, Nini Yusof, berkata kejayaan itu adalah bukti kerjasama kukuh dengan pelanggan serta agensi bagi menggerakkan kempen inovatif, kreatif dan mendekati pengguna.

"Kami bertekad untuk terus meningkatkan hasil kerja yang mantap dengan memanfaatkan kekuatan serta keupayaan untuk menjangkau jumlah penonton yang besar serta kepakaran yang kami miliki," katanya.

Kejayaan dalam anugerah itu turut disumbang rakan usaha sama MPTN, CJ Wow Shop yang menerima anugerah gangsa bagi kategori Cemerlang dalam Pemasaran Kepada Penonton Wanita menerusi kempen One Year of WOW.

Berita Harian X