Ahad, 29 Oktober 2017 | 7:50pm
SETIAUSAHA Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon
SETIAUSAHA Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon

Jangan kolot pasal cuti bersalin 90 hari - MTUC

KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini sewajarnya mengubah pemikiran tradisional dan konvensional berhubung isu pelaksanaan cuti bersalin 90 hari yang dicadangkan dalam sektor swasta.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, menyifatkan dakwaan kononnya cadangan itu bakal menambahkan kos terhadap majikan adalah tidak benar.

Sebaliknya, katanya, pemberian tambahan cuti daripada 60 hari kepada 90 hari seperti yang dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan awam berupaya memacu produktiviti, selain mengurangkan tekanan di tempat kerja.

"Saya bingung dengan perangkaan dikemukakan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengenai kos tambahan yang terpaksa ditanggung jika tambahan cuti ini diluluskan sektor swasta.

"MEF sepatutnya memberikan perincian mengenai jenis pekerjaan, sektor dan industri berkaitan yang berkemungkinan mengalami peningkatan kos susulan pemberian cuti tambahan ini.

"Pemikiran kolot seperti ini wajar diubah kerana Pusat Kajian Dasar dan Ekonomi (CEPR) membuktikan peruntukan tambahan untuk cuti bersalin menjana impak positif terhadap persekitaran pekerjaan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsudin Bardan, dilaporkan berkata pengurusan syarikat terpaksa menanggung lebihan kos RM20 bilion jika cuti bersalin selama 90 hari dijadikan sebagai dasar mandatori.

Kos itu merangkumi pecahan RM10 bilion untuk kos pemberian cuti tambahan bagi wanita selepas bersalin dan RM10 bilion bagi menggaji pekerja sementara.

Beliau turut mengemukakan perangkaan bahawa seramai 250,000 pekerja wanita mengambil cuti bersalin setiap tahun secara purata.

Seiring arus pemodenan, Solomon berkata, majikan sepatutnya tidak sekadar mementingkan perkiraan faktor kos, sebaliknya turut mempertimbangkan pemberian faedah sampingan terhadap pekerja.

"Selepas wanita bersalin kembali bekerja, kajian CEPR mendapati 89 peratus daripada responden menunjukkan impak positif atau tiada kesan terhadap produktiviti, manakala kadar sumbangan (93 peratus) dan aras moral (99 peratus)," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X