Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:39pm
Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman. - Foto Aswadi Alias

MRA bina penempatan ada tandas, pam air

KUALA LUMPUR: Agensi Bantuan Malaysia (MRA) akan membina penempatan sementara dilengkapi tandas dan pam air di Mainnergona, antara penempatan pelarian Rohingya yang baharu di wilayah Cox's Bazar, Bangladesh.

Kemudahan di lokasi kira-kira dua jam setengah perjalanan dari sempadan Bangladesh-Myanmar itu akan dibina selepas mendapat kelulusan Kerajaan Bangladesh.

Ketika ini, ramai pelarian Rohingya, termasuk warga emas dan kanak-kanak hanya berteduh di bawah plastik daripada panas dan hujan.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata tinjauan pihaknya mendapati penempatan di Mainnergona agak kritikal selepas menjadi tumpuan pelarian baharu dan kini mencecah 22,000 orang.

Katanya, MRA juga menghantar pasukan ketiganya diketuai Dr Shahrizal Azwan Samsudin sejak Jumaat lalu ke Cox's Bazar untuk meneruskan bantuan kemanusiaan Rohingya.

"Tidak seperti kem lebih besar seperti Hakimpara, Balukhali dan Kutupalong, kem ini masih belum ada sekolah dan klinik bagi menampung keperluan pendidikan dan kesihatan penduduk.

"Usaha pelbagai pihak menyediakan kemudahan asas  masih belum mencukupi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Daud berkata, hampir 63,000 daripada pelarian Rohingya adalah kanak-kanak mengalami masalah tidak cukup zat dan memerlukan rawatan perubatan.

"MRA merayu rakyat Malaysia terus memberi sumbangan untuk membantu pelarian Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman tentera Myanmar.

"Ia bagi membolehkan pelarian Rohingya menerima keperluan asas untuk meneruskan kehidupan mereka di kem ini," katanya.

Berita Harian X