Selasa, 31 Oktober 2017 | 12:23pm
BANGI 06 OKTOBER 2017. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman pada Majlis Pelancaran Tarikh Kuat Kuasa Akta Insolvensi 1967 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. NSTP/AIZUDDIN SAADAIZUDDIN SAAD

Akta Profesion Undang-Undang selepas konsultasi semua pihak

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar perundangan dan orang awam sebelum meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu bagi membolehkan pindaan yang dibuat dapat diterima semua pihak, bukan sahaja pengamal undang-undang tetapi mereka pihak berkepentingan.

Katanya, sekretariat Jawatankuasa Perundingan Khas sedang dalam proses untuk memuktamadkan Laporan Kumpulan Perbincangan Fokus ( Focus Group Discussion) yang telah diadakan pada 24 Oktober lalu.

"Selepas itu, laporan akhir kumpulan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perunding Khas akan dimuat naik dalam laman web khas bagi tujuan sesi konsultasi awam secara dalam talian," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu ] dalam sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Mohamad Zulkifly dalam soalannya ingin mengetahui status pelaksanaan cadangan kerajaan meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 .

Azalina berkata kerajaan pada awal tahun ini memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Menyediakan Rangka Tindakan (Blueprint) Yang Holistik Bagi Profesion Undang-Undang Di Malaysia Dan Menyediakan Cadangan Pindaan Yang Komprehensif Kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166]".

Katanya, Jawatankuasa Perundingan Khas itu dipengerusikan dan dianggotai pihak berkepentingan dan pakar bidang khusus dalam bidang perundangan.

" Antara anggota jawatankuasa itu adalah wakil Jabatan Peguam Negara; Penasihat Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri;Majlis Peguam; Mahkamah; Persatuan Undang-Undang Sabah; Persatuan Peguambela Sarawak; Persatuan Peguam Syarie; pengamal undang-undang dan dekan fakulti undang-undang daripada universiti tempatan.

"Mesyuarat pertama jawatankuasa itu diadakan pada 11 Julai 2017 bertempat di Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA).

"Mesyuarat ini membincangkan hala tuju dan gerak kerja jawatankuasa serta cadangan isu-isu yang akan dikaji bagi tujuan penyediaan rangka tindakan," katanya.

Beliau turut memaklumkan mesyuarat itu juga memutuskan penubuhan jawatankuasa kecil yang akan diterajui oleh ahli-ahli Jawatankuasa Perundingan Khas untuk mengkaji setiap isu-isu secara spesifik.

"Seterusnya, mesyuarat kedua diadakan pada 27 Julai. Mesyuarat kali ini telah membincangkan peranan dan tanggungjawab jawatankuasa kecil, tempoh masa pelaksanaan kajian isu-isu yang telah dikenal pasti serta penyediaan laporan oleh jawatankuasa kecil," katanya.

Beliau menjelaskan penubuhan jawatankuasa kecil dilaksanakan berdasarkan pembahagian isu-isu mengikut 3 kluster utama iaitu pendidikan undang-undang dan isu berkaitan dengan kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia; improvisasi perkhidmatan firma-firma guaman; dan isu berkaitan dengan pengamal undang-undang.

"Untuk makluman metodologi yang diguna pakai dalam perbincangan Jawatankuasa Kecil itu perbincangan secara berfokus yang mana ahli diberi peluang untuk mengemukakan sebarang pandangan atau cadangan secara bertulis," katanya.

Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengenai pembabitan Majlis Peguam dalam perbincangan pindaan akta itu, katanya, Majlis Peguam antara persatuan yang memainkan peranan penting dalam jawatankuasa tindakan pindaan.

42 dibaca
Berita Harian X