Selasa, 31 Oktober 2017 | 6:27pm
KETUA Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Wajib kuasai BM, titah Sultan Nazrin disanjung

IPOH: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyanjung penuh titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu sekolah vernakular wajib mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajarnya berupaya menguasai Bahasa Melayu dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar sekolah kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Adzis Abas, berkata DBP secara konsisten menegaskan bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dijelaskan melalui Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) yang menetapkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

"Maksud rasmi ialah apa-apa jua maksud kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

"Selain itu, Bahasa Melayu juga telah diangkat menjadi bahasa ilmu melalui peruntukan dalam Akta Pendidikan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Nazrin ketika bertitah merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017 di sini pada 23 Oktober lalu mahu keupayaan pelajar sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan dengan fasih wajar dijadikan satu daripada indeks utama pengukuran pencapaian sekolah jenis itu.

Baginda bertitah, usaha untuk menjadikan setiap pelajar fasih menguasai bahasa kebangsaan, hendaklah diterima sebagai satu cabaran yang harus dilakukan pihak pentadbiran sekolah jenis itu dan dijadikan indeks utama pengukuran pencapaian sekolah vernakular.

Abdul Adzis berkata, dalam usaha berterusan untuk menyebar dan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, DBP sudah mewujudkan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum yang memberi tumpuan terhadap kegiatan memperkasa bahasa kebangsaan dalam kalangan semua kaum di Malaysia.

Katanya, tumpuan khusus diberikan terhadap Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata, melaluinya pihak sekolah menjadi teras utama dalam memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini melalui usaha berterusan membabitkan proses pembelajaran, pengembangan dan pemerkasaan Bahasa Melayu.

Berita Harian X