Rabu, 1 November 2017 | 11:09pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam. - Foto Hafiz Sohaimi

"Saya rela dipersalahkan, walaupun..." - Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan menerima beban kesalahan susulan dakwaan penderaan dialami tahanan Operasi Lalang, walaupun menyifatkan ia bukan keputusannya.

Pasca tiga dekad operasi yang dijalankan pada Oktober 1987, Dr Mahathir berkata, perkara pertama dilakukannya selepas menyandang jawatan Perdana Menteri adalah mengarahkan pembebasan 21 banduan politik yang ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

"Saya buat demikian kerana tidak suka dengan tahanan tanpa bicara, iaitu sejak Aziz Ishak (bekas Menteri Pertanian dan Kooperasi) ditahan.

"Sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri, saya berharap supaya tidak perlu menahan sesiapa, malah pernah bertanya kepada polis sama ada kita boleh mansuhkan ISA.

"Mereka (polis) bagaimanapun bukan saja tidak setuju, tetapi enggan mengurangkan tempoh tahanan kepada setahun," katanya menerusi entri terbaru di blognya, chedet, hari ini.

Isnin lalu, Forum Awam 'Sisi Cerita Saya' sempena tiga dekad Operasi Lalang, anjuran Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menampilkan empat bekas tahanan ISA yang mendakwa mereka diseksa secara fizikal dan mental sepanjang berada di kem Kamunting.

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu diterajui Dr Mahathir, susulan beberapa isu sensitif termasuk berkaitan pendidikan Cina serta pergolakan politik tanah air.

Penguatkuasaan ISA dengan menahan 106 individu, merangkumi aktivis, pemimpin politik dan para akademik itu dikatakan bagi mengelak tragedi hitam, 13 Mei 1969 daripada berulang.

Rentetan pendedahan penyeksaan oleh bekas tahanan yang bukan pertama kali dimaklumkan menerusi media massa, Dr Mahathir menyifatkan pelakuan terhadap mereka adalah bertentangan dengan undang-undang.

"Saya kini dimaklumkan bahawa tahanan (Operasi Lalang) diseksa. Saya sedih apabila dimaklumkan sedemikian," katanya.

Di sebalik pengakuan itu, Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa penahanan menggunakan ISA sudah dilakukan ketika zaman pemerintahan tiga Perdana Menteri sebelumnya.

"Mereka tidak pernah dibebaskan menerusi arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X