Jumaat, 3 November 2017 | 6:28pm

PM, Jack Ma lancar DFTZ Malaysia

SEPANG: Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis Park iaitu hab ePenunaian serantau pertama Kumpulan Alibaba di luar China.

Majlis pelancaran DFTZ KLIA Aeropolis Park yang turut disempurnakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma itu, sekali gus bakal melonjak sektor ekonomi digital negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Perdana Menteri berkata, melalui pelancaran itu, Malaysia akan menjadi sebuah hab serantau iaitu sebahagian daripada platform perdagangan dunia elektronik (eWTP), yang menghubungkan negara dengan hab serantau di benua lain.

Katanya, DFTZ bakal mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan dan akan meningkatkan nilai eksport produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada RM160.95 bilion menjelang 2025.

"Ekonomi digital kini menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan potensi untuk meningkat kepada 20 peratus menjelang 2020.

"Pelaksanaan DFTZ fasa pertama hari ini mampu meningkatkan operasi dan pertumbuhan usahawan tempatan terutama dalam PKS.

"Ia sekali gus menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada peniaga yang menyertai ekonomi Internet untuk memperluaskan pasaran produk serta perkhidmatan mereka ke peringkat global.

"Pada mulanya, 1,500 PKS disasarkan dapat dimanfaatkan menerusi pelaksanaannya, tetapi sehingga kini 1,972 usahawan sudah didaftarkan dan dijangka lebih banyak lagi selepas ini," katanya ketika berucap pada Majlis DFTZ Go Live, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu DFTZ menjadi projek ikonik selaras dengan kepesatan pembangunan ekonomi digital.

"Di bawah Bajet 2018, kerajaan mengumumkan peruntukan RM83.5 juta bagi pembinaan prasarana fasa pertama DFTZ di KLIA Aeropolis untuk mewujudkan pintu masuk serantau bagi e-dagang, dan kita akan teruskan untuk fasa seterusnya pula.

"Selain itu, Jack Ma juga ada memberitahu beliau akan memilih satu minggu pada tahun depan yang akan dijadikan sebagai minggu mempromosikan Malaysia di China, yang dinamakan 'Malaysian Week' melalui platform atas talian.

"Lebih membanggakan, Malaysia menjadi negara pertama yang terpilih untuk dipromosikan olehnya.

"Pada minggu berkenaan, beliau akan mempromosikan Malaysia secara atas talian serta memperkenalkan Malaysia dan produknya seperti makanan dan budaya kepada masyarakat di China," katanya.

Hab ePenunaian di DFTZ KLIA Aeropolis Park yang dilancarkan hari ini dijangka mampu melonjak pertumbuhan jumlah kargo udara sebanyak dua kali ganda daripada 700,000 tan setahun ketika ini kepada 1.3 juta tan setahun dalam tempoh 10 tahun.

Ia juga berperanan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengeksport produk dengan cekap melalui bantuan penyedia perkhidmatan penunaian terkemuka.

DFTZ KLIA Aeropolis Park akan mengoptimumkan pelepasan dan pengendalian sempadan daripada enam jam kepada 3 jam dengan 90 peratus Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) dan meningkatkan operasi Terminal Kargo (CTO) daripada empat jam kepada 90 minit.

Ia dilengkapi dengan teknologi terkini, termasuk unit penyusunan, rak dan pemilihan selain Lighting Industrial Unit (LUI), yang membolehkan pembaikan dan pemasangan kecil sebelum penghantaran barangan, pemeriksaan kastam dan kawasan kuarantin serta kemudahan khusus kategori seperti gudang yang selamat, penyimpanan suhu terkawal dan kemudahan lain.

Hab ePenunaian ini akan dibangunkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama berada di KLIA Air Kargo Terminal 1 (KACT1), diperbaharui dan dikendalikan Pos Malaysia Bhd, yang akan menguruskan penggiat eDagang seperti Lazada.

Fasa kedua pula akan menjadi cabang logistik pembangunan hijau dari Alibaba, membabitkan kawasan seluas 24 hektar.

Ia akan dibangunkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan CAINIAO Network, yang akan beroperasi pada 2020.

DFTZ yang diumumkan Perdana Menteri pada 22 Mac lalu di Kuala Lumpur terdiri daripada tiga komponen menggabungkan zon fizikal dan zon maya.

Zon fizikal terdiri daripada Hab ePenunaian dan Hab Perkhidmatan Satelit, manakala zon maya terdiri daripada Platform e-Perkhidmatan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma pada majlis pelancaran fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis Park di Sepang, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X