Sabtu, 4 November 2017 | 11:55am

Jangan biar sejarah berulang: TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tentera siber UMNO lebih proaktif dan tangkas menangkis persepsi khususnya membabitkan pembunuhan karakter bagi mengelak jatuhnya tokoh, parti serta kerajaan yang baik.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, pembangkang bukan hanya mempersoal dasar dan pentadbiran parti pemerintah, malah gemar menyerang peribadi pemimpin sehingga berlaku pembunuhan karakter yang memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada parti pemerintah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, budaya jelik dan buruk itu berkembang dalam masyarakat apabila berita palsu seolah-olah dapat diterima dengan mudah.

"Jika kita tidak dapat atasi segera dan hanya mendapat jawapan tiga atau empat bulan kemudian, maka berlakulah apa yang Ambiga (bekas Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenavasan) lakukan terhadap PAS apabila parti itu dituduh menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Konvensyen bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Zahid berkata, Malaysia terjebak sebagai antara negara tertinggi di dunia mempunyai peratusan penduduk yang aktif dalam media sosial, membabitkan 60 peratus daripada populasi.

Beliau berkata, ia memberi kesannya terhadap pola pemikiran rakyat yang memerlukan usaha lebih proaktif untuk menangani persepsi secara intelektual, pendekatan psikologi dan cita rasa yang disesuaikan dengan kumpulan sasar.

Dalam dunia yang semakin berubah, katanya, sistem komunikasi konvensional turut beralih daripada komunikasi bersemuka dan lisan kepada komunikasi tanpa lisan.

"Persepsi yang wujud harus diurus dengan baik dan mustahil dengan sistem komunikasi konvensional iaitu lisan atau bersemuka dapat menanganinya dengan baik.

"Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO adalah wira yang sentiasa berada di garisan hadapan untuk menguruskan persepsi kerana pendapat umum atau 'mahkamah pendapat umum' lebih berkuasa daripada mahkamah biasa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan menangani persepsi menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tenggelam pada dua PRU lalu yang akhirnya terpahat sebagai sejarah negara.

"Kita mahu pada PRU-14 kali ini apabila Perdana Menteri memberikan bajet terbaik, semua aspek diambil kira dari segi keterangkuman, apabila seluruh jentera diintegrasi dengan sebaik-baiknya, kita akan memberikan hadiah kemenangan dengan majoriti dua pertiga, Insya-Allah.

"Allah menguji kita dua kali, ujian ini adalah ujian terakhir untuk kita. Jika kita gagal kali ini, lupakan segala-galanya," katanya.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memyampaikan ucapan Pembukaan Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dangangan Dunia Putera (PWTC) .- Foto Mohd Yusni Ariffin
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama sebahagian peserta konvensyen selepas memyampaikan ucapan Pembukaan Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan turut bersama Ketua Biro IT UMNO , Datuk Ahmad Maslan (tiga kiri) dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO , Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kanan) di Pusat Dangangan Dunia Putera (PWTC).- Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X