X
Ahad, 5 November 2017 | 4:15pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada majlis pelancaran misi untuk membina dan mengendalikan hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan MINDEF
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada majlis pelancaran misi untuk membina dan mengendalikan hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan MINDEF

Hospital medan operasi 1 Disember - PM

KUALA LUMPUR: Hospital medan Malaysia yang akan dibuka di Bangladesh bagi membantu pelarian etnik Rohingya yang lari dari konflik di barat Myanmar akan beroperasi selewat-lewatnya 1 Disember depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata hospital medan dengan kelengkapan bilik bedah, x-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik bersalin dengan kapasiti maksimum 100 katil itu, akan dibina di wilayah Cox's Bazar.

Beliau berkata hospital medan itu akan dibangunkan pada jarak perjalanan kira-kira 10 hingga 15 minit dari kem pelarian.

Katanya, lokasi sebenar hospital itu akan diumumkan selepas pasukan peninjau berlepas pada 7 November ini.

"Hospital ini akan didirikan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) tetapi pengendaliannya oleh Kementerian Kesihatan dan orang perseorangan sebagai sukarelawan.

"Ini adalah usaha secara bersama dan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dan rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pelarian Rohingya," katanya selepas melancarkan misi untuk membina dan mengendalikan hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju di sini hari ini.

Perdana Menteri turut meninjau hospital medan ARPA itu, yang akan beroperasi sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan di Bangladesh.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah.

Ketika ini, terdapat dua hospital medan di Cox's Bazar yang dibangunkan Palang Merah Norway dan Bulan Sabit Merah Bangladesh bagi menampung keperluan ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

Lebih 600,000 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari utara Rakhine (Myanmar) ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu ekoran operasi Tentera Myanmar di barat negara itu.

Perdana Menteri berkata hospital medan ARPA itu akan menunjukkan 'kehadiran' Malaysia di Bangladesh dalam usaha berterusan membantu pelarian Rohingya.

Katanya, Malaysia memang mendahului isu pelarian Rohingya dari semua sudut termasuk diplomasi, forum dan bantuan kemanusiaan.

"Kita cadang menerbangkan kargo hospital medan itu ke Bangladesh pada 20 November ini. Pada 21 November kumpulan pertama (doktor dan petugas) akan berlepas dan mendarat di Chittagong dan hospital medan ini akan didirikan berhampiran kem pelarian," katanya.

Najib turut berterima kasih kepada kerajaan, tentera dan pihak berkuasa di Bangladesh kerana memberikan kerjasama dan sokongan bagi pembinaan hospital medan itu selepas Malaysia menjadi negara asing pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Cox's Bazar pada 9 September lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X