Isnin, 6 November 2017 | 7:50pm
Kakitangan TNB membersihkan pencawang yang ditenggelami banjir di Pencawang Elektrik Sri Mutiara, Georgetown.
Kakitangan TNB membersihkan pencawang yang ditenggelami banjir di Pencawang Elektrik Sri Mutiara, Georgetown.

44 pusat pemindahan dapat bekalan elektrik

KUALA LUMPUR: Semua 44 pusat pemindahan mangsa banjir di Pulau Pinang sudah memperoleh bekalan elektrik disalurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui pencawang elektrik (PE) berhampiran.

Pengurus Besar Kanan (Distribution Network) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata setakat jam 3 petang tadi, TNB juga sudah memasang 35 set janakuasa bergerak (genset) di kawasan penting dan sesuai.

Sementara itu katanya, 31 daripada 4,852 pencawang elektrik TNB di negeri itu masih lagi dihenti tugas atas faktor keselamatan.

"Bagi kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik, kami berharap pengguna dapat bersabar kerana usaha sedang dilakukan untuk memulihkan bekalan secepat mungkin.

"Kelewatan antara lain disebabkan PE masih lagi ditenggelami air dan kerja-kerja baik pulih akan mengambil sedikit masa," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, pengguna di Pulau Pinang dinasihatkan merujuk Facebook TNB Careline atau menghubungi talian TNB Careline 15454 bagi mendapatkan maklumat terkini bekalan elektrik.

Selain Pulau Pinang, TNB juga katanya akan terus memantau keadaan semua pepasangannya di Perak dan Kedah yang dijangka menerima taburan hujan tinggi beberapa hari ini.

Berita Harian X