Selasa, 7 November 2017 | 9:14am
DATUK Seri Masidi Manjun (empat dari kiri) bergambar beramai bersama Pengurus MAB DI UK, Ireland, Eropah dan Amerika Utara, Adrian Keating (lima dari kiri) selepas Majlis Menandatangani Perjanjian, di London. Turut serta ahli Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Kampung Patikang Laut, Keningau. - Foto Ihsan Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

MAB, STB bekerjasama promosi Sabah di London

KOTA KINABALU: Malaysia Airlines Berhad (MAB) di London dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menandatangani kempen kerjasama bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Sabah.

Bagi merealisasikannya, MAB London pada tahun depan akan mengadakan beberapa siri perdagangan dan aktiviti pengguna untuk mempromosikan Sabah dan Malaysia menerusi Promosi Kempen Digital.

Promosi dijalankan di portal talian penerbangan Malaysia, United Kingdom (UK) dan negara Kesatuan Eropah (EU) menerusi kerjasama dengan Kuoni dan rakan perdagangan pelancongan bagi melancarkan laluan dengan pesawat Airbus A350.

Majlis menandatangani perjanjian itu dimeterai antara Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengurus MAB di UK, Ireland, Eropah dan Amerika Utara, Adrian Keating di London, semalam.

Masidi berkata, kerjasama itu akan memberi lebih banyak peluang dalam meningkatkan kedatangan pelancong dan ahli perniagaan dari UK dan Ireland ke Sabah.

"Berdasarkan statistik oleh STB, jumlah ketibaan pelancong dari pasaran utama ini adalah seramai 35,901 pada tahun 2016, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kedatangan pelancong antarabangsa secara keseluruhannya lebih 1.1 juta pada tahun 2016, sekali gus peningkatan ketara 15.4 peratus berbanding pada tahun 2015," katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar STB, Suzaini Sabdin; Pembantu Pengurus Pemasaran STB (UK, Eropah dan pasaran Amerika Syarikat), Daniel Roman.

Delegasi rombongan diketuai Masidi turut disertai Borneo Nature Tours, Borneo Adventures, Shangri-La Rasa Ria, Rustic Borneo, dan Borneo Sandakan Tours.

Menerusi MAB, kedatangan pelancong ke Kota Kinabalu pula meningkat 57 peratus bagi Januari hingga September tahun ini dengan 10,523 ketibaan berbanding tempoh sama pada 2016.

Sementara itu, Adrian berkata, pihaknya gembira menerusi pembaharuan perjanjian dengan STB bagi membantu mempromosikan tempat menarik yang ditawarkan di Sabah.

"Sama ada mahu menjelajah Gunung Kinabalu atau berehat di pantai yang indah, Sabah adalah tempat sempurna untuk memulakan penerokaan Malaysia," katanya.

World Travel Market London adalah acara global yang terkemuka dengan lebih 5,000 pameran destinasi diadakan.

Berita Harian X