Sabtu, 11 November 2017 | 6:58pm
BEKAS jururawat dan pekerja hospital bergambar bersama pada majlis perjumpaan dengan lebih 250 bekas kakitangan PKKN sejak 1950-an. - Foto Hafiz Sohaimi
BEKAS jururawat dan pekerja hospital bergambar bersama pada majlis perjumpaan dengan lebih 250 bekas kakitangan PKKN sejak 1950-an. - Foto Hafiz Sohaimi

Syor warta Pusat Kawalan Kusta Negara tapak warisan

SUNGAI BULOH: Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) disyor diiktiraf sebagai tapak warisan di bawah Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang 2019.

Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata pihaknya kini dalam peringkat dokumentasi dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara untuk memohon kawasan seluas 94.4 hektar itu sebagai sebagai tapak warisan dunia.

Beliau yang ditemui pada majlis perjumpaan dengan lebih 250 bekas kakitangan PKKN sejak 1950-an, berkata apabila perancangan itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi sejarah cukup besar kepada dunia perubatan khususnya untuk negara.

"Kawasan ini pernah menjadi penempatan kedua terbesar di dunia untuk pesakit kusta, selain banyak lagi sejarah dan pencapaian dalam dunia perubatan, khususnya untuk penyakit kusta.

"Jadi pengiktirafan itu dapat memastikan PKKN tidak lenyap seperti penempatan bekas pesakit kusta lain, antaranya di Pulau Jerejak, Pulau Pinang dan Pulau Ketam, Klang," katanya.

PENGARAH Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim. - Foto Hafiz Sohaimi
PENGARAH Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim. - Foto Hafiz Sohaimi

Dalam memelihara warisan itu, katanya, Geleri Kusta mempamerkan peralatan seperti alatan perubatan lama digunakan pada 1930-an, dibuka bagi memberi peluang masyarakat umum menelusuri sejarah penyakit berkenaan.

"Galeri ini dapat mengubah stigma masyarakat terhadap pesakit kusta. Pengunjung dapat melihat gambar aktiviti pesakit kusta yang pernah mendiami kawasan ini suatu ketika dulu," katanya.

Sementara itu, Dr Khalid berkata, beliau mahu menjadikan majlis perjumpaan bekas kakitangan PPKN sebagai acara tahunan menghimpunkan bekas petugas yang ada di antara mereka sudah lebih 40 tahun tidak berjumpa.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ketua Jururawat PKKN yang juga penganjur majlis terbabit, Norfishah Ibrahim,63, berkata perjumpaan itu adalah kali ketiga diadakan.

"Ini adalah majlis terbesar apabila seramai 250 orang hadir, terdiri daripada bekas kakitangan pengurusan, doktor dan jururawat. Perjumpaan ini asalnya hanya digerakkan menerusi jawatankuasa kecil dan hebahan aplikasi WhatsApp.

"Tidak sangka begitu ramai yang hadir. Apabila dapat berkumpul dengan rakan yang pernah bekerja di PKKN ini, ia dapat mengembalikan memori kami sepanjang bekerja di sini," katanya.

Berita Harian X