Ahad, 12 November 2017 | 6:49pm
GALERI Prima ada kan lelongan 'Treasures Of The Peranakan World & Straits Chinese Journey Continues' di Galeri Prima Bangsar. - Foto Mahzir Mat Isa
GALERI Prima ada kan lelongan 'Treasures Of The Peranakan World & Straits Chinese Journey Continues' di Galeri Prima Bangsar. - Foto Mahzir Mat Isa

Dua lukisan dilelong RM100,000 setiap satu

KUALA LUMPUR: Dua lukisan masing-masing karya Awang Damit Ahmad dan Khalil Ibrahim mencatat lelongan tertinggi mencecah RM100,000.

Lukisan berjudul EOC Series yang menggunakan medium akrilik dihasilkan oleh Awang Damit pada 1988 mencatat lelongan tertinggi pada harga RM110,000.

Karya Khalil berjudul 'Untitled' dihasilkan pada 1987 dibida pada RM100,000.

Pada acara lelongan di Galeri Prima, Balai Berita, di sini, kira-kira 85 peratus daripada 141 karya seni yang dilelong berjaya dijual.

Pengarah Henry Butcher Art, Sim Polenn, mengakui pihaknya teliti dari segi pemilihan karya.

"Daripada 350 karya, hanya 141 lukisan dibawa untuk menyertai sesi lelongan.

"Kami tidak sangka mendapat sambutan memberangsangkan pada sesi lelongan kali ini. Ini menunjukkan negara mempunyai ramai peminat dan pengumpul lukisan seni halus," katanya.

Polenn berkata, seramai 20 pelukis muda seperti Lim Keh Soon, Samsudin Wahab, Ismail Alwi dan Sabihis Md Pandi turut mempamerkan lukisan untuk sesi lelongan kali ini.

Katanya, antara karya bakat muda yang mendapat perhatian adalah lukisan berjudul 'Walk To Remember' karya Annisa Abdullah yang dibida RM10,000.

"Ini menunjukkan peminat dan pengumpul koleksi seni ini melihat hasil serta kualiti sesuatu karya sebelum membuat bidaan.

"Secara tidak langsung, ia membuka ruang kepada pengkarya muda menghasilkan hasil seni yang lebih berkualiti," katanya.

Antara karya yang dilelong adalah hasil pelukis terkemuka negara seperti Patrick Ng Kah Onn, Datuk Mohd Hoessein Enas dan Zulkfli Yusoff.

Turut dibida adalah karya pelukuis Indonesia seperti Heri Dono, Kartika Affandi dan Nyoman Gunarsa serta dari Singapura iaitu Choy Weng Yang dan Kumari Nahappan.

78 dibaca
Berita Harian X