Sabtu, 18 November 2017 | 11:26am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Plagiarisme adalah jenayah akademik - Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR: Plagiarisme adalah satu jenayah akademik dan satu perilaku mungkar terhadap ilmu dan ilmuwan yang wajib ditangani secara tegas, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, plagiarisme wajib diberikan perhatian serius dan satu kaedah pemantauan yang berkesan wajib diformulasikan demi memastikan integriti dan kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara. 

"Plagiarisme semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web (www) dengan maklumat tersangat mudah diperoleh secara elektronik melalui internet.

"Pada masa ini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus dan laporan yang disediakan oleh pelajar.

 "Dengan berbilion jumlah bahan yang terkandung di dalam internet, adalah amat menyulitkan warga akademik untuk dapat menyemak sepenuhnya kesahihan dan keaslian kerja kursus dan bahan penyelidikan yang dihasilkan pelajar di bawah pengawasan mereka.

"Apatah lagi jika jumlah pelajar begitu ramai, dan nisbah pelajar pengajar begitu tinggi," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Baginda berharap nama baik USAS terhindar daripada tercemar dengan perbuatan plagiarisme dalam kalangan pelajar dan lebih-lebih lagi warga akademik.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Zambry yang berjaya memberikan kepimpinan berwawasan kepada USAS berbekalkan pengalaman beliau sebagai seorang ahli akademik sebelum ini.

"Latar belakang beliau, daripada seorang anak nelayan di Pulau Pangkor, telah berjaya membina modal intelek, modal sosial dan modal budaya melalui bidang pelajaran, menjadikan beliau pemimpin yang peka lagi prihatin, mahu menyediakan kemudahan pelajaran kepada seramai mungkin anak pelajar dengan yuran berpatutan.

"Atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau telah meluluskan dana kewangan yang besar daripada kerajaan Beta untuk membiayai operasi USAS. 

"Beta menzahirkan penghargaan kepada ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan warga akademik, serta tenaga pengurusan dan tenaga sokongan universiti, yang berkhidmat dengan penuh komitmen, mendukung wawasan besar untuk memastikan kejayaan USAS," titah baginda.

Pada majlis hari ini, buat pertama kalinya USAS akan menganugerahkan graduan dengan ijazah, membabitkan 41 ijazah Sarjana dan 17 ijazah Sarjana Muda serta 785 penerima diploma.

Berita Harian X