Sabtu, 18 November 2017 | 11:51pm
D'Kechewas Band, yang dianggotai oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham, Pengurus Besar Kumpulan Primeworks Studio, Azhar Borhan, Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Yushaimi Yahaya dan Pengurus Besar Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad, Tengku Iesta Tengku Alaudin membuat persembahan ketika Majlis Rockin' CEOs 2017 Fundrising For Pintar Foundation di Menara Matrade, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Eizairi Shamsudin
Master CEO Band, yang dianggotai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, Pengerusi, UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Pengerusi, PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, RHB, Datuk Khairussaleh, melakukan persembahan ketika Majlis Rockin' CEOs 2017 Fundrising For Pintar Foundation di Menara Matrade, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Daripada Menteri, pemandu Uber, sekarang penyanyi

KUALA LUMPUR: Kalau sebelum ini sanggup menjadi pemandu Uber, Tan Sri Abdul Wahid Omar sekali lagi mencipta kejutan apabila tampil menganggotai kumpulan muzik.

Penampilan istimewa Pengerusi Permodalan Nasional Berhad menerusi kumpulan dikenali sebagai CEO Master Band itu demi menjayakan majlis meraih dana anjuran Yayasan PINTAR, malam ini.

Konsert memecah tradisi yang julung kali diadakan sejak penubuhan Yayasan PINTAR pada 2008 itu, berjaya meraih dana RM850,000 hanya menerusi penjualan tiket dan sumbangan pelbagai syarikat.

Berkenan berangkat mencemar duli bagi memeriahkan majlis ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sesi lelongan amal yang menampilkan koleksi pereka fesyen terkenal, Datuk Seri Bernand Chandran; artis tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan pemain bola sepak negara, T Thanabalan pula berupaya meraih kutipan dengan jumlah keseluruhan RM38,000.


Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan ketika Majlis Rockin' CEOs 2017 Fundrising For Pintar Foundation di Menara Matrade, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Eizairi Shamsudin

Kutipan berkenaan dijangka mencapai sasaran awal, iaitu RM1 juta menjelang tengah malam ini bagi menjamin kelangsungan penyaluran dana kepada 539 sekolah angkat di seluruh negara.

Dihiasi kerlipan lampu dan pentas ibarat Anugerah Juara Lagu, 'gelanggang' persembahan malam meraih dana Yayasan PINTAR dirasmikan Maystripes Band yang menampilkan teraju utama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Melepasi jangkaan hadirin, bahang suasana di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE mula terasa selepas kugiran yang dibentuk pada 1984 itu mendapat tepukan gemurah menerusi persembahan tiga lagu, iaitu 'Use Somebody' oleh King Leon; Hati Emas (Datuk M Nasir) dan Mimpi Yang Sempurna (Peter Pan).

Terus menghangatkan suasana ialah kugiran D'kechewa yang diketuai Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Kamal Khalid sebagai pemain drum dan vokalis utamanya, Pengurus Besar Kewangan Kumpulan MPB, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

Tampil bersahaja, kugiran berkenaan turut dibarisi Pengarang Kumpulan NST, Datuk Yushaimi Maulud Yahya; CEO Rangkaian Televisyen MPB, Johari Ishak; CEO Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar dan Pengurus Kumpulan Primeworks Studio, Azhar Borhan.


Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan ketika Majlis Rockin' CEOs 2017 Fundrising For Pintar Foundation di Menara Matrade, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Eizairi Shamsudin

Tirai persembahan dimulakan dengan lagu 'Mustang Sally' yang dipopularkan artis Amerika Syarikat, Mark Rice pada 1965 sehingga menyaksikan hadirin berdiri bagi memberikan tepukan gemuruh.

Rentak persembahan kemudian diteruskan melalui rangkaian lagu seperti 'Superstition', 'Jump' dan 'I Saw Her Standing There'.

Paling mencuri tumpuan ialah persembahan 'otai' daripada CEO Master Band yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala sebagai pemain gitar dan vokalis, selain empat anggota lain.

Mereka adalah Abdul Wahid, Ahmad Izham dan turut dianggotai Pengerusi UEM Sunrise Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa serta CEO RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan PINTAR, Tan Sri Arshad Ayub, menyuarakan harapan supaya peneraju pelbagai industri di negara ini meningkatkan usaha menjalin kerjasama sektor awam dan swasta menerusi program sekolah angkat yang dikelola yayasan berkenaan.

Selaras peredaran masa, beliau berkata, Yayasan PINTAR melancarkan platform mengumpul dana secara dalam talian bagi meraih sokongan dan pembabitan masyarakat.

"Kita berdepan cabaran untuk memastikan sumber kewangan yayasan sentiasa dalam keadaan lestari bagi menjamin setiap sekolah angkat diberikan bantuan berterusan.

"Kita merencana mekanisme baharu untuk memudahkan penyaluran dana kepada golongan memerlukan ini, sekali gus memastikan impan kanak-kanak ini menjadi realiti," katanya pada majlis itu.

Berita Harian X