Ahad, 19 November 2017 | 6:00pm

Kerjasama UMNO-PAS manfaatkan Melayu, Islam

KUALA LUMPUR: Persengketaan politik antara UMNO dan PAS, dua parti yang membawa imej Melayu dan Islam sejak bertahun lamanya dapat dikurangkan selepas kedua-dua parti itu mengambil prinsip bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu sejagat secara bersama.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama dalam mendepani isu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 contohnya, memberi impak yang begitu besar ke arah mengukuhkan penyatuan masyarakat Melayu dan orang Islam.

"Setakat ini, kita tidak nampak pergaduhan UMNO dengan PAS. Kalau kita boleh bekerjasama dengan lebih jauh lagi adalah lebih baik. Kalau boleh kita mahu Islam dan Melayu terus bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi kluster politik pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0, berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut menjadi panel adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron. Moderator sesi itu adalah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun.

Ismail Sabri berkata, walaupun PAS dan UMNO berjaya menunjukkan kerjasama, masih ada Ahli Parlimen Melayu dan Islam yang memilih jalan sebaliknya dalam isu itu.

"RUU itu tidak boleh diluluskan kerana Ahli Parlimen Islam kita berpecah. Hanya 100 saja (Ahli Parlimen Islam) menyokong dan 43 lagi tidak menyokong. Inilah yang menyebabkan RUU itu tidak dapat dibentang dan diluluskan di Parlimen. Itulah kesannya kalau ada parti yang sokong DAP," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menguji kekukuhan UMNO, MCA dan MIC, yang diberi tanggungjawab menggalas tugas menggerakkan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, PRU kali ini juga akan menguji populariti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan relevannya dengan politik Malaysia, terutama selepas menjadi pemimpin kanan kepada blok pembangkang.

"Ironinya, dulu mereka (pembangkang) bermati-matian menentang Dr Mahathir dan hari ini bermati-matian mempertahankan Dr Mahathir. Beliau sekarang nampak macam pelik semacam," katanya.

Beliau turut menyatakan politik ini adalah seni yang menampilkan kepelbagaian kemungkinan dan serba ketidaktentuan.

"Seorang ahli politik Jerman pernah menyatakan bahawa politik adalah seni yang serba kemungkinan. Jadi kalau kita lihat gambar (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak ziarah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (kemudian) (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula ziarah Anwar, apa petandanya? Itulah seni politik," katanya.

12 dibaca
NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin sewaktu menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.-Foto BERNAMA
Berita Harian X