Khamis, 30 November 2017 | 9:59pm
Dr Syariz Izry Sehat menyifatkan ibu bapa tidak boleh menyorokkan fakta sunat itu sakit. - Foto Rosela Ismail
MENURUT Dr Syariz Izry Sehat terdapat tiga kaedah berkhatan. - Foto Rosela Ismail

Kaedah gam kurangkan trauma kanak-kanak berkhatan

BERKHATAN adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang. Ia juga dikenali dengan sunat atau dalam bahasa Inggeris dinamakan, 'circumcision'.

Berkhatan adalah satu proses yang menyakitkan dan tidak ada teknik berkhatan yang tidak menyakitkan langsung. Sakit atau tidak bergantung kepada daya tahan sakit seseorang.

Pakar bedah Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Syariz Izry Sehat, berkata ibu bapa tidak boleh menyorokkan fakta sunat itu sakit kerana keadaan sedemikian merumitkan keadaan apabila kanak-kanak melalui proses berkhatan nanti.

"Kanak-kanak di bawah kendalian saya wajib menjalani sesi kaunseling dan melihat video berkhatan sebelum menerima rawatan. Ini supaya mereka dapat maklumat tepat dan saya dapat mengagak mereka bersedia atau tidak. Pendekatan ini berupaya mengurangkan trauma kanak-kanak." katanya ketika ditemui BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Syariz berkata, terdapat tiga kaedah berkhatan iaitu secara konvensional (potong dan jahit ), klamp (penggunaan klamp dan potong) dan terbaharu sutureless (potong dan gam tisu dermabond).

"Secara amnya, tiga prosedur ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tetapi sebagai pakar, saya sarankan untuk memilih kaedah gam.

"Kaedah ini lebih mudah dari segi dari segi penjagaan. Kanak-kanak boleh mandi selepas berkhatan manakala ibu bapa tidak perlu mencuci luka setiap hari kerana gam tisu yang digunakan adalah kalis air dan sudah diletakkan antibiotik," katanya.

DR Syariz Izry Sehat. - Foto Rosela Ismail

Kaedah gam kurang sakit

Beliau berkata, kaedah gam juga memberi rasa kurang sakit selain boleh menyarungkan seluar selepas berkhatan.

Proses penyembuhan berlaku dalam tempoh lima hingga tujuh hari saja kerana gam digunakan itu membantu melekatkan kulit sebelum proses penyembuhan sepenuhnya.

"Kelebihan lain teknik ini adalah kita membuang dua lapisan kulit berbanding teknik biasa dan menjadikan kulit zakar tidak 'geleber', berbanding teknik klamp," katanya.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti, Dr Syariz Izry berkata, kaedah berkhatan golongan ini dilakukan menggunakan teknik modified circumcision".

"Ìni berikutan lapisan lemak pada bahagian sulit menolak kulit kemaluan keluar lebih panjang berbanding zakar.

"Rawatan seperti klamp dan gam tidak boleh digunakan kerana berisiko menjadikan kulit dan zakar tidak sekata atau sama ukurannya.

"Semua teknik khatan biasa iaitu konvensional, klamp atau gam adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan. Kebiasaannya, kulit zakar dipotong secara berlebihan oleh doktor yang kurang mahir. Ini boleh menyebabkan kesukaran ereksi pada kemudian hari," katanya.

Tiada istilah rawatan laser untuk khatan

Sebagai pakar bedah yang banyak menguruskan prosedur berkhatan, beliau mahu memperbetulkan salah tanggapan orang ramai berkenaan khatan menggunakan rawatan laser.

"Di negara ini, tidak ada khatan menggunakan laser seperti kerap diperkatakan. Ini kerana kos peralatan untuk khatan sangat mahal mencecah jutaan ringgit.

"Lagipun, tiada kelebihan sunat menggunakan kaedah ini berbanding kaedah sedia ada. Ramai yang salah anggap kerana teknik haba sahaja digunakan bertujuan membantu menutup pembuluh darah ketika prosedur berlangsung," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, hanya di Singapura antara negara yang menawarkan rawatan seumpama itu.

Kelebihan bersunat usia bayi

Dr Syariz Izry, berkata proses penyembuhan untuk prosedur berkhatan kini lebih cepat berbanding dulu iaitu seawal lima hingga tujuh hari.

Beliau berkata, kini sudah menjadi aliran apabila ibu bapa selesa memilik untuk melakukan khatan terhadap anak masing-masing pada seawal usia bayi.

Gambar hiasan, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad (dua dari kanan) menenangkan peserta sunat pada Program Majlis Berkhatan Beramai-ramai Anjuran Kawasan Rukun Tetangga Taman Mahsuri di Dewan Taman Mahsuri, Jitra. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Sebagai doktor, saya cadangkan anak lelaki berkhatan pada usia bayi. Ini kerana perkembangan badan bayi pada usia ini sangat baik. Seperti yang kita tahu, pada usia bayi sebulan, mereka hanya boleh nampak bayang sebelum melihat jelas ketika usia tiga hingga empat bulan.

"Sama juga deria sakit mereka yang tidak begitu ketara ketika usia ini. Oleh itu, kesan sakit berkhatan kurang sedikit berbanding ketika mereka dikhatankan pada usia kanak-kanak," katanya.

Proses penyembuhan luka pada usia bayi juga kata Dr Syariz Izry, juga lebih mudah dan cepat kerana pada tahun pertama bayi dilahirkan proses tumbesaran anak adalah paling pesat.

"Biasanya, selepas lima minit dikhatankan, bayi sudah boleh tersenyum dan tidak menunjukkan reaksi sakit berbanding kanak-kanak," katanya.

INFO

Khatan

  • Prosedur membabitkan pemotongan penghujung kulit yang menutup penghujung zakar.
  • Secara amnya membuang anggota tubuh yang menjadi tempat di mana kotoran, virus dan najis terperangkap.
  • Faedah berkhatan mengurangkan Jangkitan saluran kencing (UTI), kanser alat kelamin, penyakit kelamin dan kurang risiko jangkitan tiga jenis penyakit kelamin (STD) iaitu HIV, syphilis (dua kali ganda) dan chancroid (10 kali ganda).

Antara teknik moden bersunat menggunakan klamp dan potong.

Tiga kaedah khatan

  • Konvensional

    Memerlukan cucian luka setiap hari, tidak boleh mandi tetapi teknik selamat.

Klamp

  • Menggunakan gentian plastik bulat diletakkan di bahagian zakar. Biasanya, ada masalah dari segi saiz plastik tidak sesuai. Lebih banyak menyebabkan berlaku lebihan kulit pada zakar. Masalah teknik ini adalah gentian plastik perlu ditanggalkan doktor dan risiko jangkitan lebih tinggi.
Berita Harian X