Sabtu, 2 Disember 2017 | 5:17pm
MOHAMAD Reeza Abd Patah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bahasa Melayu disaran jadi pengantar sekolah vernakular

KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu dicadangkan menjadi bahasa pengantar di sekolah vernakular di negara ini bagi memperkasa kefasihan dan penguasaan dalam pelajar dan gurunya.

Cadangan itu disuarakan wakil portfolio Pendidikan, Mohamad Reeza Abd Patah ketika Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Mohamad Reeza yang juga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah vernakular menerusi penguasaan Bahasa Melayu, yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan ini tidak menghalang pelajar dan guru di sekolah vernakular tidak boleh menutur bahasa ibunda mereka, namun bahasa pengantar di sekolah mereka adalah Bahasa Melayu.

"Ini selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertitah mengenai kejanggalan dan ironis jika rakyat Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca di dalam bahasa kebangsaan.

"Malah, ada Ahli Parlimen yang tidak fasih berbahasa kebangsaan hingga jadi bahan ketawa. Bukan tujuan kami mahu meragut hak bangsa lain, namun inilah cara untuk memperbaiki kelunturan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kepelbagaian Aliran Pendidikan Pemangkin Kepada Krisis Kelunturan Semangat Patriotisme Anak Muda pada PEMANAS 5.0 di sini, hari ini.

PEMANAS 5.0 menghimpunkan kira-kira 350 pelajar institusi awam dan swasta, membahaskan isu dalam aspek pendidikan, agama, ekonomi dan politik pada hari ini dan esok dengan mencadangkan sekurang-kurangnya 40 resolusi untuk diserahkan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, wakil portfolio Agama, Mohammad Amirul Shafiq Mohd Aznan, berkata insitusi raja berupaya memainkan peranan memastikan sikap toleransi antara agama dalam kalangan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, institusi itu perlu diangkat dan didaulatkan supaya ia dihormati, menerusi sokongan kepada UMNO memandangkan hanya parti itu yang secara terang berusaha memperjuang dan memartabatkan institusi berkenaan.

"Lihat seperti isu dobi Muslim di Johor yang menimbulkan keresahan dalam kalangan orang bukan Islam, namun titah Sultan Johor berjaya meredakan keadaan. Itulah bukti peranan institusi raja dalam menyemai toleransi agama.

"Subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga perlu diperkasa supaya generasi akan datang memahami fungsi dan kapasiti raja di negara ini, sekali gus menghormati peranan mereka," katanya.

Berita Harian X