Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:18pm
PENGERUSI Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin. - Foto Aizuddin Saad

FAMA anjur Program Jualan Jimat Belanja Dapur

KUALA LUMPUR: Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, menarik perhatian perwakilan apabila menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dengan meluluskan serta-merta cadangan mewujudkan Program Jualan Jimat Belanja Dapur di pasar tani seluruh negara.

"Yang berhormat Datuk, cadangan itu considered done (ditanggung beres)," katanya berulang kali sehingga mendapat sorakan daripada perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Cadangan itu dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi, ketika perbahasan menyokong usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Terdahulu, Hasim dalam ucapannya berkata, program itu antara cadangan bagi menangani kos sara hidup rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang.

"Negeri Sembilan mencadangkan supaya FAMA mengambil peranan utama meringankan kos hidup rakyat dengan mengadakan Program Jualan Jimat Belanja Dapur di pasar tani atau tempat tertentu, paling tidak sebulan sekali atau setiap dua minggu.


PERWAKILAN Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi. - Foto BERNAMA

"Program ini dicadangkan berkonsep ala BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) iaitu bagi memberi peluang kepada setiap rakyat untuk menikmati kemudahan barang dapur pada yang murah," katanya.

Mengulas lanjut, Hasim berkata, program itu boleh direalisasikan dengan kerjasama strategik antara pembekal atau pengeluar utama barangan dapur melalui pendekatan 'cross subsidy' .

Katanya, menangani kos sara hidup wajar dilakukan sebagai satu pasukan yang membabitkan kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan dan swasta.

"Kita semua mempunyai peranan tersendiri dan tidak sepatutnya meletakkan bebanan ke atas bahu seseorang terutama Presiden parti kita, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Berita Harian X