Ahad, 10 Disember 2017 | 3:56pm

PERKESO bayar RM2.3b kepada 524,047 pencarum

MARAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperuntukkan RM2.397 bilion bagi membayar pelbagai tuntutan akibat kemalangan kepada 524,047 pencarumnya sejak Januari hingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Mutalib, berkata PERKESO menyediakan lebih 10 jenis bantuan kemalangan antaranya faedah perubatan, bantuan pemulihan jasmani dan vokasional, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan jenazah, faedah orang tanggungan, hilang upaya sementara, pencen penakat dan pencen bantuan ilat.

Katanya, pembayaran tuntutan paling tinggi ialah pencen penakat iaitu kira-kira 862 juta kepada 271,009 pencarum diikuti pencen bantuan ilat membabitkan perbelanjaan RM506 juta dan tuntutan hilang upaya kekal dengan RM407 juta.

"Selain itu, PERKESO juga membelanjakan RM42.2 juta bagi melaksanakan skim pemulihan jasmani dan vokasional kepada seramai 2,784 pencarum, ia bagi membolehkan mereka meneruskan kerjaya.

"Pembayaran itu diharapkan dapat meringankan beban dialami pencarum PERKESO yang ditimpa kemalangan supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan selesa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan katil dan kerusi roda kepada suri rumah, Junaidah Harun di Kampung Sentosa, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, sehingga kini seramai 6.5 juta pekerja dan 426,435 majikan berdaftar dengan PERKESO.

"Pekerja digesa supaya mencarum dengan PERKESO bagi menjamin nasib dan masa depan mereka serta keluarga sekiranya berlaku kemalangan ke atas mereka.

"Jangan berasa rugi mencarum dengan PERKESO atau membeli insurans pekerja kerana manfaatnya adalah besar," katanya.

67 dibaca
Berita Harian X