Rabu, 13 Disember 2017 | 3:35pm
PRESIDEN Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof. - Foto Abdullah Yusof

Pengusaha bas sekolah harap subsidi diesel

 

KUALA LUMPUR: Harga tambang bas sekolah tidak sepatutnya dijadikan isu, sebaliknya ia patut difokuskan kepada permohonan subsidi diesel kepada kerajaan.

 

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu sejak empat tahun lalu, namun masih tidak mendapat jawapan.

 

Katanya, subsidi RM1 untuk seliter diesel dilihat relevan mengikut perkembangan zaman dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

 

"Saya ingin tekankan harga tambang bas bukan isunya, cuma bila subsidi tidak diberikan ia seakan-akan 'memaksa' harga berkenaan dinaikkan.

 

"Sekarang kita minta subsidi diesel, masih tiada maklum balas, kini ada pihak ketengahkan isu subsidi petrol pula.

 

"Saya tidak kisah mana dapat dulu (subsidi diesel atau petrol), yang penting kita mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.

 

Mengenai cadangan memperkenalkan semula rebat RM10,000 untuk pembelian bas baharu, Mohd Rofik, berkata ia secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan pelajar.

 

"Kita juga mahu penumpang lebih selesa, perkara seperti ini yang diperjuangkan pengusaha bas sekian lama," katanya.

 

Semalam, Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia dilaporkan memberi jaminan tidak akan menaikkan harga tambang perkhidmatan itu bagi sesi persekolahan tahun depan.

 

Ketika ini tambang bas sekolah bagi kawasan bandar adalah sekitar RM80, manakala RM60 bagi luar bandar. 

 

Baru-baru ini, kadar tambang bas sekolah sesi 2018 dilaporkan mahu dinaikkan antara RM10 hingga RM20, bergantung kepada kawasan operasi.

Berita Harian X