Khamis, 14 Disember 2017 | 2:41pm

Berdiri 50 tahun, roboh kurang 10 saat

SHAH ALAM: Cerobong asap yang berdiri megah lebih lima dekad akhirnya rebah menyembah bumi dalam tempoh kurang 10 saat tepat jam 11.39 pagi tadi. 

Sebelum itu, siren dibunyikan tiga kali sebagai amaran kepada orang ramai dan penduduk sekitar kawasan Padang Jawa di sini. 

Struktur setinggi 60 meter diperbuat daripada campuran konkrit dan besi itu dimusnahkan selepas syarikat pemilik, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) memutuskan untuk menutup kilang pengeluaran baja, CCM Fertilizers  Sdn Bhd (CCMF) sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, proses merobohkan cerobong itu bukan mudah secara manual kerana berisiko tinggi terhadap kakitangan.

Malah, persediaan selama tiga bulan dilakukan untuk memastikan kelancaran proses merobohkan struktur itu dengan kerjasama pelbagai pihak.

Justeru, CCM memutuskan kaedah lebih agresif iaitu menggunakan bahan letupan bagi menumbangkan cerobong bersejarah berkenaan.

Proses itu turut melakar sejarah baharu buat negara kerana ia pertama kali perobohan cerobong asap dilakukan menggunakan bahan letupan.

Proses merobohkan struktur itu diketuai oleh pakar letupan dari Australia, Nick Elith, yang bekerja di syarikat letupan terbesar dunia, Orica-CCM Energy System, dengan usaha sama syarikat tempatan, Warisan Kaliber Sdn Bhd.

Elith yang berada di negara ini sejak Jumaat lalu, berkata persediaan dilakukan selama enam hari kerana perlu melakukan pemeriksaan tanah dan cerobong asap sebelum 'hari kemusnahan'.

Berpengalaman luas hampir 50 tahun dalam industri letupan, beliau sudah merobohkan lebih 35 struktur binaan di seluruh dunia termasuk di New Zealand, Papua New Guinea dan Australia.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 16 struktur adalah cerobong asap menggunakan bahan letupan dalam tempoh 18 tahun.

Mengakui kerja meletupkan cerobong asap kilang CCMF adalah kerja mudah, beliau berkata, proses untuk struktur sekecil itu memerlukan persediaan rapi supaya apa yang dirancang menjadi kenyataan tanpa mengabaikan faktor keselamatan.

"Kerja kali ini mudah. Bahan letupan berbentuk 'sosej' berasaskan air campuran ammonium nitrat seberat 6.5 kilogram (kg) diperlukan untuk meletupkan struktur ini.

"Selepas itu, 'sosej' berkenaan dimasukkan ke dalam 32 lubang masing-masing pada kedalaman 450 milimeter (mm) yang dikorek pada dinding setebal 600mm di bawah cerobong asap.  Ia bertujuan melemahkan struktur supaya dapat tumbang.

"Bagi memastikan cerobong itu tumbang di tempat sepatutnya, lubang ditebuk di bahagian depan supaya binaan itu tumbang ke hadapan," katanya.

Mengulas impak letupan itu, Elith berkata, ia hanya berskala kecil kerana menghasilkan sedikit debu.

Katanya, beg pasir turut diletak di bawah cerobong bagi mengurangkan tekanan yang terhasil berikutan letupan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata kilang CCMF yang beroperasi sejak 1960 ditutup atas faktor ingin menjimatkan kos operasi, sekali gus mengurangkan hutang syarikat.

"Kilang itu sudah mempunyai pemilik baharu, maka proses perobohan dan pembersihan tapak kilang seluas 28.71 hektar itu perlu dilakukan secepat mungkin.

"Sekarang hanya cuma tinggal cerobong asap. Kita memilih kaedah kawalan robohan menerusi letupan yang lebih menjimatkan kos dan masa, di samping lebih selamat.

"Ini pertama kali ia dilakukan di Malaysia dan kita mendapatkan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ia bagi memastikan proses letupan cerobong asap tidak memberi kesan ketara atau mencemari alam sekitar serta membahayakan komuniti setempat," katanya.

Pengurus Projek, Mathew Thomas, yang terbabit sebagai kru letupan berkata, proses pembersihan dan perobohan di tapak kilang bermula Jun lalu.

"Ketika itu, kita sudah memulakan proses memindah dan membersihkan bahan berbahaya utama seperti asbestos serta paip gas. Kita roboh satu persatu bangunan utama bermula Oktober lalu," katanya.

"Banyak nostalgia di tapak ini terutama cerobong asap. Pada 197-0an, cerobong itu pernah bergegar hingga kita terpaksa melantik perunding untuk membetulkan strukturnya," katanya.

Proses merobohkan keseluruhan struktur berkenaan membabitkan kos RM10 juta.

30 dibaca
Proses perobohan menara serombong asap setinggi 60meter dilupuskan oleh pihak CCM Fertilizers di Padang Jawa, Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X