Jumaat, 15 Disember 2017 | 8:09pm
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah dan Presiden MAH, Cheah Swee Hee menandatangani MOU antara The Malaysian Tour and Travel Agent (MATTA) dan Persatuan Hotel Malaysia MAH), Royal Chulan Hotel KL. - Foto Rohanis Shukri

MATTA, MAH sepakat pacu sektor pelancongan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengorak langkah dalam memacu industri pelancongan menerusi jalinan kerjasama dua penggerak utama sektor terbabit.

Kerjasama antara Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) diterjemahkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) demi manfaat bersama.

MoU ditandatangani oleh Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang bersama Presiden MAH, Cheah Swee Hee, itu antara bertujuan meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan negara.

Kok Liang berkata, bagi menggalakkan promosi pelancongan, pihaknya perlu melebarkan rangkaian pemasaran yang aktif dan memberi galakan terhadap aktiviti pelancongan.

Katanya, lebih 60 peratus pelancong asing mahukan pakej lengkap merangkumi penginapan, kenderaan dan pelancongan oleh ejen pelancongan.

"Kerjasama ini menjadi platform untuk kedua-dua entiti berkongsi kepakaran dan pengalaman ke arah menggalakkan pertumbuhan pelancong.

"Penggerak industri hotel sememangnya berperanan besar dalam industri pelancongan, sekali gus penting bagi mereka menawarkan pakej lengkap dengan tawaran hebat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Swee Hee berkata, aliran pasaran semasa menunjukkan pelancong lebih gemar membuat tempahan hotel secara dalam talian.

"Ini memberi kesan terhadap ejen pelancongan, justeru kerjasama ini akan memberi galakan terhadap perkhidmatan mereka yang kian terancam dengan penggunaan teknologi.

"Lebih 1,000 hotel berdaftar dengan MAH ketika ini dan kita akan terus memberi galakan kepada hotel lain berdaftar bagi mendapat manfaat sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata pihaknya menyasarkan kemasukan 33 juta pelancong asing tahun depan.

Tahun ini, katanya, kira-kira 75 peratus pelancong asing adalah dari negara anggota ASEAN seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Berita Harian X