Sabtu, 16 Disember 2017 | 7:20pm
Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka, Zainal Izran Zahari ketika sidang media bersama pengamal media Malaysia sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga hari ke negara itu hari ini.
Perdana Menteri dijadualkan tiba pada esok.
- Foto BERNAMA

PM lawat Sri Lanka

COLOMBO: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Sri Lanka akan menjadi antara fokus lawatan kerja rasmi tiga hari Datuk Seri Najib Razak, bermula esok.

Ini adalah pertama kali Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, melakukan lawatan rasmi ke negara itu, serentak dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kuasa Usaha Sementara di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, Zainal Izran Zahari, berkata Najib yang dijadual tiba esok, akan diberi sambutan rasmi pada Isnin.

"Ini diikuti pertemuan empat mata dengan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena, disusuli mesyuarat dua hala pemimpin kedua-dua negara dengan adalah rundingan FTA Malaysia-Sri Lanka menjadi antara fokus utama perbincangan," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Zainal Izran berkata, keakraban pemimpin kedua-dua negara termasuk Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremasinghe, melonjakkan kerjasama pelbagai bidang merangkumi perdagangan, pelaburan, kerjasama ekonomi, kesihatan, pelancongan dan sumber manusia.

Katanya, ini juga adalah lawatan timbal balas Perdana Menteri susulan kunjungan Presiden Sri Lanka ke Malaysia pada Disember 2016.

Zainal Izran berkata, Malaysia dan Sri Lanka setuju meneruskan rundingan FTA menerusi lawatan Sirisena tahun lalu.

"Beberapa perbincangan diadakan bagi menggariskan objektif, skop, prinsip utama dan struktur manakala Malaysia sudah menyerahkan kertas kerangka skop kepada Sri Lanka," katanya.

Beliau berkata, dagangan dua hala Malaysia-Sri Lanka bernilai hampir AS$500 juta (RM2.05 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 13.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, ada 47 syarikat Malaysia beroperasi di Sri Lanka membabitkan pelaburan AS$3 bilion (RM12.1 bilion) dengan fokus bidang telekomunikasi, penjanaan kuasa hidro, pembinaan dan pembangunan resort.

Najib dijadual menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama kedua-dua kerajaan dan agensi tertentu termasuk menyediakan latihan bagi diplomat, bidang sains, teknologi dan inovasi serta sektor bioteknologi.

Beliau juga dijadual menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ahli perniagaan Sri Lanka dan majlis ramah mesra dengan komuniti Malaysia, selain diraikan pada majlis makan tengah hari rasmi dihoskan Sirisena serta Wickremasinghe.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu.

Berita Harian X