Isnin, 18 Disember 2017 | 4:44pm
EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin. - Foto Rosela Ismail
EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin. - Foto Rosela Ismail

IMAMS : Pemuda UMNO cadang pinda akta

KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO mahu Akta Tabung Haji 1995 dipinda bagi membolehkan agensi pengurusan haji itu menjalankan pemantauan, sekali gus melancarkan urusan umrah umat Islam di negara ini.

EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata Tabung Haji sememangnya berkelayakan menjalankan tugasan itu bersandarkan kecemerlangannya dalam menguruskan jemaah haji setiap tahun.

"Saya berasakan Tabung Haji layak diberikan tanggungjawab terbabit berdasarkan pengalaman dan diiktiraf cemerlang dalam menguruskan jemaah haji serta umrah.

"Tabung Haji pula boleh diberikan tanggungjawab untuk memantau, namun kerajaan perlu meminda terlebih dahulu Akta Tabung Haji 1995 bagi membolehkan mereka berbuat demikian," katanya dalam kenyataan.

Mengikut akta berkenaan pada masa ini, Tabung Haji hanya diberi kuasa untuk mengendalikan urusan haji umat Islam yang meliputi semua urusan ibadah termasuk pengurusan visa dan kewangan menerusi perkhidmatan depositnya.

Selain itu, Nazir menyarankan kuasa mengurus dan mengeluarkan Lesen Khas Umrah (LKU) diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri, bukannya di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Ini kerana umrah adalah satu ibadah, yang diwajibkan kepada kaum muslimin yang mampu sebagaimana haji, tidak sesuai jika dikategorikan sebagai melancong.

"Peraturan LKU pula menetapkan hanya warga tempatan beragama Islam boleh mengendalikan urusan umrah," katanya, sambil menegaskan bahawa soal ibadah tidak boleh dipandang ringan.

Dalam pada itu pihaknya menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan membatalkan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) selepas 24 jam ia dilancarkan, sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap peduli rakyat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri Najib Razak) dan Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang sangat peka dan bertindak pantas dalam isu ini.

"Saya menyokong sepenuhnya tindakan terbabit dan berharap kerajaan mampu mencari mekanisme terbaik supaya tidak timbul sebarang isu atau dituduh gimik politik," katanya.

Berita Harian X