Ahad, 24 Disember 2017 | 6:29pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum menyerahkan beg sekolah kepada pelajar, Muhammad Nor Eizwan Mohd Syukri sambil diperhatikan oleh Senior Eksekutif Tanggungjawab Korporat UEM Group Berhad, Zalina Md Ali (empat kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Dewan Institut Kemahiran Bina Negara, Jitra. - Foto Sharul Hafiz Zam

Anggota tentera bukan untuk raih undi - Johari

Gambar Sahrul Hafiz Zam

JITRA: Kerajaan tidak pernah mempergunakan anggota tentera dengan menempatkan mereka di kawasan tertentu untuk meraih undi semasa Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya penempatan mereka adalah untuk tujuan keselamatan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum, berkata dakwaan pembinaan kem tentera di Sembrong bermotifkan politik oleh Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, menghina pasukan pertahanan seolah-olah mereka mudah dipergunakan.

"Tujuan kita membina kem di Sembrong tak ada kena mengena dengan politik, kira-kira 12 kem tentera akan dibina di seluruh negara.

"Ia dibina untuk tujuan keselamatan dan keperluan serta strategi yang sudah disusun oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kalau nak kata pembinaan kem di Sembrong untuk menyelamatkan Ahli Parlimennya yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, saya rasa beliau sudah selesa di sana," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, Khamis lalu bahawa pembinaan kem tentera baharu membuktikan BN menggunakannya untuk meningkatkan pengundi di kawasan pilihan raya yang menang dengan majoriti tipis dalam PRU lalu.

Chin Tong mendakwa kem tentera berkenaan semuanya terletak di kawasan utama, termasuk Segamat, Johor, yang dipegang oleh Menteri Kesihatan, S Subramaniam; dan Hutan Melintang, Perak, yang terletak di dalam Parlimen Bagan Datuk, iaitu kerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu menegaskan kementeriannya tidak berkompromi mengenai keselamatan dan akan menempatkan anggotanya di mana saja walaupun tanpa kem yang besar.

Katanya, terdapat banyak bangunan yang disewa oleh ATM di kawasan tertentu dan ia juga menggunakan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan.

"Biarpun kem belum siap dibina sepenuhnya tapi kementerian tetap akan menempatkan anggota di kem terbabit bagi tujuan taktikal dan teknikal.

"Jika dakwaan mengata ia untuk tujuan PRU-14 bagi memenangkan memenangkan Barisan Nasional (BN), itu tidak betul. Saya beri contoh, kita ada kem tentera yang besar di Port Dickson dan Lumut, tapi kedua-dua kawasan Parlimen itu kita kalah, dakwaan pembangkang ini tidak berasas," katanya.

Terdahulu, Johari menyerahkan sumbangan dua set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, dua pasang sarung kaki dan alat tulis kepada 200 murid Tadika Kemas yang disumbangkan UEM Group Berhad.

22 dibaca
Berita Harian X