Khamis, 28 Disember 2017 | 12:01am
SEORANG peminat makanan laut, Atan Sarip (kiri) membeli makanan laut di jeti nelayan. - Foto Suzaini Sulaiman
SEORANG peminat makanan laut, Atan Sarip (kiri) membeli makanan laut di jeti nelayan. - Foto Suzaini Sulaiman
KERANG yang ditangkap di Kuala Sepetang. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KERANG yang ditangkap di Kuala Sepetang. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Hasil kerang merosot

KUALA LUMPUR: Pencemaran yang serius di pesisir pantai Kuala Selangor, Selangor dan Taiping, Perak serta muara sungai yang cetek di Tumpat, Kelantan, menyebabkan nelayan dan penternak kerang mengeluh kerana pendapatan hasil kutipan hidupan laut itu tidak sebanyak dulu.

Di Kuala Selangor, misalnya, nelayan di sini pernah memperoleh pendapatan bersih sehingga RM2,000 sebulan hasil menternak kerang di pesisir pantai Sungai Buloh, Jeram.

Malah, 10 tahun lalu, kerang adalah hidupan laut yang paling mudah dan murah diperoleh kerana ramai nelayan pantai mengusahakan projek kebun kerang, dengan galakan kerajaan Selangor ketika itu.

Ketika itu, beberapa lokasi di pesisir pantai antara Sabak Bernam hingga Klang menjadi tempat benih kerang dan tidak hairanlah usaha menggalakkan nelayan pantai mengusahakan hidupan ini dizahirkan.

Namun, selepas 10 tahun, lain pula ceritanya, apabila pencemaran punca air dipercayai turut memberi kesan kepada penternakan kerang, sehingga menyebabkan nelayan yang mengusahakannya kini hanya mampu membawa pulang kira-kira RM1,000 sebulan.

Di Tumpat, keadaan muara yang cetek dan aliran air yang perlahan menyebabkan populasi kerang semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan pencari dan peniaga makanan laut itu di negeri ini.

Keadaan semakin buruk sejak tiga tahun lalu selepas banjir besar melanda menyebabkan air yang tercemar mengalir hingga ke lagun di sekitar Pantai Seri Tujuh sebelum memusnahkan benih kerang sedia ada di kawasan itu.

Walaupun kerang tidak diternak, populasinya masih terdapat di sekitar muara serta lagun di Pantai Seri Tujuh, sekali gus memberikan pendapatan sampingan kepada pencari haiwan bercengkerang dan peraih.

Penjual, Mohd Rosdi Mohamad, 66, berkata kerang semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu dan tidak lagi dijual dalam kuantiti yang banyak.

"Sekarang, saya hanya dapat menjual sekitar tiga hingga lima kilogram (kg) dan paling banyak sekalipun lapan kg.

"Tahun ini, baru empat kali saya dapat jual kerang yang diperoleh daripada pencari kerang dan mereka memaklumkan memang makanan laut itu semakin kurang sekarang disebabkan muara cetek," katanya yang menjual kerang RM6 untuk sekilogram tertakluk kepada saiz.

Mohd Rosdi yang hampir 20 tahun menjual haiwan bercengkerang dan ikan masin berkata, kini hanya lokan, lala dan tiram yang banyak dicari penduduk.

Seorang pencari haiwan bercengkerang, Isa Ali, 55, berkata sejak beberapa tahun lalu, dia sudah tidak mencari kerang kerana tidak berbaloi untuk dijual berikutan kuantiti yang sangat sedikit, cukup untuk makan sendiri.

Di Taiping, pencemaran dan faktor pemanasan global dikatakan menjadi antara punca tangkapan kerang di Kuala Sepetang, di sini, semakin berkurangan hingga menyebabkan ia sukar diperoleh seterusnya menyebabkan harga meningkat.

Nelayan yang juga penternak kerang, Lee Shy Laum, 35, berkata masalah pencemaran laut menyebabkan saiz kerang juga semakin mengecil kerana ia tidak dapat dibiarkan mencapai saiz lebih besar sebelum dikutip.

Katanya, keadaan itu membuatkan purata hasil tangkapan kerang yang dilakukannya dalam sehari bagi tahun ini berkurangan sehingga 50 peratus berbanding tahun lalu kerana banyak kerang tidak dapat hidup di lokasi yang sebelum ini menjadi habitat tumpuan hidupan laut itu.

"Pencemaran di Kuala Sepetang kebanyakannya berpunca dari pembuangan sampah-sarap serta sisa kumbahan penduduk terus ke dalam laut hingga mengganggu ekosistem habitat hidupan laut khususnya kerang, ketam dan udang di sekitar kawasan paya berlumpur.

"Kalau dulu biasanya terdapat 100 lokasi panas yang sering menjadi sasaran penangkap kerang namun kini hanya tinggal 15 lokasi, tidak termasuk lokasi yang menjadi kawasan ternakan kerang.

"Faktor pemanasan melampau juga mengakibatkan kerang tidak lagi dapat bertahan di habitat mereka khususnya apabila fenomena air surut, seterusnya mati atau berpindah ke kawasan lain yang kurang tercemar," katanya.

Shy Laum berkata, inisiatif daripada kerajaan seperti menggalakkan pembenihan kerang melalui projek ternakan kerang juga tidak banyak membantu berikutan kerang tetap akan mati lebih awal di kawasan berkenaan.

NELAYAN yang juga penternak kerang, Lee Shy Iaum, 35, menunjukkan perbezaan kerang dari segi saiz yang disebabkan faktor tangkapan lebih awal sebelum usia matang . - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NELAYAN yang juga penternak kerang, Lee Shy Iaum, 35, menunjukkan perbezaan kerang dari segi saiz yang disebabkan faktor tangkapan lebih awal sebelum usia matang . - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sementara itu, penangkap kerang, Woo Boon Leng, 48, berkata aktiviti mencuri kerang juga menyumbang kepada masalah kekurangan hasil tangkapan hidupan laut berkenaan.

"Dulu mungkin orang boleh kata Kuala Sepetang adalah kawasan ternakan dan tangkapan utama kerang di Malaysia, namun fenomena kekurangan hasil kerang yang berlaku sangat membimbangkan kami yang bergantung penuh kepada tangkapan kerang," katanya.

Kebanyakan nelayan di Sungai Buloh, di sini, menyalahkan pencemaran sebagai punca kerang semakin berkurangan sehingga menyebabkan ia sukar diperoleh kebelakangan ini.

Nelayan, Kahar Buntal, 64, mendakwa sisa buangan kilang yang dipercayai terbabit dengan perusahaan kertas menjadi punca air sungai dan laut di sekitar daerah ini terus tercemar berikutan paip saluran keluar dipasang di dalam tanah.

"Akibatnya, aliran air menjadi hitam tiba-tiba sehingga menimbulkan tanda tanya dan selepas diselidik, rupa-rupanya ada paip saluran sisa kilang dipasang di dalam tanah bagi mengelakkan ia dikesan.

"Perkara ini didedahkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang pernah memanggil wakil penternak untuk mendengar laporan siasatan mereka terhadap aduan kami.

"Apabila diadukan masalah kepada pihak berkenaan termasuk media, boleh pula air kembali jernih tetapi apabila lama tiada aduan dibuat, air kembali kotor dan berbau busuk," katanya.

Kahar berkata, masalah itu tidak timbul sebelum 2012 dan penternak kerang sepertinya menikmati hasil lumayan sepanjang tempoh berkenaan apabila kebun kerangnya pernah menghasilkan sehingga 7,000 kilogram hidupan itu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, ketika itu, secara purata penternak mampu mendapat keuntungan bersih RM2,000 sebulan walaupun kerang dijual pada harga RM1 bagi sekilogram.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini harga kerang melambung sehingga beliau terpaksa menjualnya pada harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram mengikut saiz berikutan kebun kerang diusahakan tidak lagi mengeluarkan hasil sebanyak dulu.

"Tidak tahu macam mana, ada masa kerang banyak tetapi hanya 40 peratus sahaja yang hidup. Tidak tahu apa masalahnya sama ada pencemaran air atau tanah tidak cukup lembut," katanya.

SAIZ kerang diukur untuk melihat proses tumbesarannya. - Foto NSTP
SAIZ kerang diukur untuk melihat proses tumbesarannya. - Foto NSTP

Saiz kerang semakin kecil

Masalah saiz kerang yang dinaikkan juga membimbangkan. Jika dahulu pengusaha menjual kerang bersaiz syiling 20 sen atau lebih dua sentimeter seperti dibenarkan, kini saiznya kurang dua sentimeter atau lebih kecil.

Kahar berkata, bukan beliau tidak mahu menunggu kerang diternak membesar sehingga dua sentimeter, namun bimbang jika menunggu lama kerang berkenaan akan mati, menyebabkan pengusaha terpaksa memungut lebih awal.

Pada masa sama, katanya, desakan peraih dan pengusaha restoran makanan laut untuk mendapatkan bekalan kerang yang semakin berkurangan juga menyebabkan pihaknya terpaksa menjual hidupan laut itu walaupun saiznya belum cukup besar.

"Walaupun bersaiz kecil, harga kerang tidak juga merosot, malah semakin mahal terutama sejak awal tahun ini. Kerang bersaiz kecil ini, dahulu nak jual RM1 sekilogram pun tidak laku. Kini, walaupun kecil ia semakin mahal.

"Bukan pengusaha sengaja menjualnya pada saiz yang kecil kerana ia menyalahi peraturan ditetapkan Jabatan perikanan. Bagaimanapun, permintaan yang tinggi sampai peraih dan peniaga makanan laut merayu supaya kami menjualnya menyebabkan kami memungut kerang lebih awal," katanya.

KERANG besar dan kecil diasingkan. - Foto Suzaini Sulaiman
KERANG besar dan kecil diasingkan. - Foto Suzaini Sulaiman

Benih berkurangan

Kahar berkata, jika sebelum ini benih kerang di pesisir pantai Selangor menjadi buruan pengusaha dalam dan luar negara termasuk dicuri untuk diseludup ke negara jiran sehingga ke Thailand, kini nelayan di negeri ini menghadapi masalah kekurangan benih.

"Masalah benih berkurangan berlaku sejak 2012. Tempat lain ada naik benih tetapi di sini kalau ada pun tidak banyak. Keadaan ini berbeza berbanding pada 2006 ketika kami mula mengusahakan penternakan kerang ini. Ketika itu perusahaan baik sehingga pada 2010.

"Tahun ini benih berkurangan berbanding pada 2010," katanya yang berharap jabatan dan agensi terbabit dapat segera membantu mereka supaya industri kerang di Selangor tidak terus mati berikutan sudah ramai pengusaha yang mula berhenti menternak kerang.

Bagi peniaga kerang di pantai Jeram, Nordin Ismail Said, 76, bekalan kerang sememangnya tidak banyak berbanding 10 tahun dulu.

"Kadangkala saya terpaksa mengambil bekalan di pangkalan sekitar Kuala Selangor. Penternak juga menjualnya pada harga yang mahal. Sudah tiga tahun keadaan ini berlaku terutama ketika angin kuat. Benih pun sukar diperoleh.

"Saya sendiri menjual kerang mengikut saiz antara RM6 sekilogram bagi yang bersaiz kecil dan RM7 sekilogram jika saiznya lebih besar," katanya.

Seorang lagi peniaga kerang dan hidupan laut, Napsiah Tongah, 45, berkata bekalan kerang yang mahal sehingga RM400 seguni memaksa penjual menjualnya pada harga lebih tinggi berbanding dulu.

NELAYAN, Woo Boon Leng, 48, menunjukkan kerang yang baru ditangkap di Kuala Sepetang. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NELAYAN, Woo Boon Leng, 48, menunjukkan kerang yang baru ditangkap di Kuala Sepetang. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Katanya, jika dulu, seguni kerang yang mengandungi 70 kilogram kerang dibelinya pada harga RM90, ia kini menjadi RM400.

"Saya terpaksa menjualnya pada harga lebih mahal berbanding dulu apabila sekilogram kerang paling mahal dijual pada harga RM3. Saya sudah 10 tahun menjual kerang dan kebelakangan ini saya terpaksa mendapatkan bekalan dari Sungai Besar kerana kerang di sini berkurangan," katanya.

Seorang peminat makanan laut, Atan Sarip, berkata harga kerang mentah sudah tidak seperti dahulu iaitu RM2 sekilogram berbanding sekarang, antara RM7 hingga RM8.

"Saya minta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan perusahaan kerang di Selangor tidak terus terjejas termasuk mengawal keadaan ekologi serta pembuangan bahan pencemar ke dalam air," katanya.

Berita Harian X