Jumaat, 29 Disember 2017 | 12:02am

Usaha tingkatkan kembali hasil kerang

SHAH ALAM: Mewujudkan kawasan pemuliharaan benih dan induk kerang adalah antara langkah segera perlu diambil bagi menangani isu kemerosotan pengeluaran hidupan laut itu ketika ini.

Usaha menerusi pelan pengurusan kerang itu terkandung dalam resolusi yang dicapai antara Jabatan Perikanan Selangor dengan penternak dan nelayan yang akan dibawa ke peringkat Kementerian Perikanan dan Industri Asas Tani serta kerajaan Selangor, untuk pelaksanaan.

Timbalan Pengarah Perikanan, Mohd Fariz Abdul Kadir, berkata usaha untuk membantu penternak kerang di Selangor memerlukan kerjasama banyak pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan serta agensi berkaitan.

Katanya, resolusi itu penting bagi membolehkan mereka maklum mengenai keadaan semasa serta tahu apa yang perlu dan tidak boleh dilakukan apabila merancang pembangunan di kawasan berhampiran kebun kerang.

Beliau berkata, pihak terbabit perlu mengambil kira kawasan muara sungai dan tepi sungai ketika mahu meluluskan atau mengadakan pembangunan di negeri ini.

"Apabila pelan ini dikeluarkan kelak, ia akan membabitkan semua agensi. Resolusi inilah yang kita capai dalam Majlis Perundingan Industri Ternakan Kerang Selangor 2017 pada 8 November lalu," katanya kepada BH.

TIMBALAN Pengarah Perikanan, Mohd Fariz Abdul Kadir. - Foto Muhammad Sulaiman
TIMBALAN Pengarah Perikanan, Mohd Fariz Abdul Kadir. - Foto Muhammad Sulaiman

Mohd Fariz berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya kawasan ternakan kerang menggunakan teknologi mikro organisma berkesan (EM) untuk memulihkan kawasan yang tercemar kerana EM dapat membantu menguraikan kandungan kimia dan toksik dalam air kepada komponen yang tidak toksik, sekali gus mesra kepada alam sekitar.

Katanya, teknologi itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah digunakan secara meluas di Jepun termasuk untuk kegunaan di kawasan air masin.

Mohd Fariz berkata, EM sememangnya banyak digunakan di kawasan air tawar namun kejayaan pihak berkuasa Jepun menggunakan EM dalam merawat kawasan yang sudah teruk tercemar sehingga kembali seperti sedia kala, boleh juga digunakan dalam usaha merawat kawasan penternakan yang sudah tercemar.

"Di negara ini, EM turut digunakan oleh penternak akuakultur untuk mengawal kualiti air dalam kolam ternakan masing-masing," katanya.

Mohd Fariz berkata, masalah yang dihadapi penternak kerang itu juga mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berikutan pengeluaran kerang di Selangor kini berada pada paras membimbangkan.

"Selangor pernah menjadi pengeluar kerang tertinggi di negara ini pada 2010. Ketika itu, Selangor mengeluarkan sehingga 40,000 tan metrik kerang.

"Begitu juga dengan pengeluarannya. Namun, tahun lalu kita hanya mampu mengutip kira-kira 2,000 tan metrik kerang di Selangor manakala sehingga September lalu, jumlahnya hanya 832 tan metrik.

"Keadaan ini menunjukkan pengeluaran kerang semakin menunjukkan penurunan," katanya kepada BH.

NELAYAN mengambil kerang di Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
NELAYAN mengambil kerang di Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mohd Fariz berkata, biarpun penternak turut mendapatkan benih daripada penternak di Johor, sesuatu yang tidak berlaku pada 2010, ia tidak bermakna benih kerang yang dibawa masuk itu boleh hidup di kawasan penternakan di negeri ini berikutan habitat yang tidak bersesuaian.

Beliau berkata, ia berikutan ketika ini habitat kerang di Selangor lebih ekstrim, menyebabkan benih dari kawasan lain tidak mampu hidup.

Selain itu, katanya, benih kerang di Selangor, seperti sebelum ini, masih diseludup ke negeri jiran oleh pihak tidak bertanggungjawab, terutama ke Thailand.

"Thailand tidak sesuai untuk menghasilkan benih kerang sendiri, namun ia sesuai untuk penternakan kerang berikutan keadaan persekitaran yang masih baik.

"Awal tahun ini, ada kes benih dari Selangor dibawa sampai ke Kedah untuk dibawa masuk ke Thailand dengan menggunakan lori. Orang ingat ia tanah lumpur tetapi apabila tengok bawah mikroskop, apa yang disangkakan tanah itu adalah benih kerang kerana saiznya sebesar gula pasir.

"Bukan tidak ada benih dari Selangor dijual di negeri lain, namun ia melalui proses pengesahan apabila benih itu dibawa keluar atau masuk ke sesebuah negeri. Ketika ini, Perak sudah mengatasi Selangor dalam pengeluaran kerang," katanya.

SAMPEL kerang yang dijumpai mati akibat dimakan siput. - Foto NSTP
SAMPEL kerang yang dijumpai mati akibat dimakan siput. - Foto NSTP

Nelayan tidak tunggu cukup matang sebelum pungut

Mohd Fariz berkata, walaupun saiz kerang di pasaran bukan saiz yang dibenarkan untuk dijual, kebanyakan nelayan mengakui tidak ada pilihan selain mengambil kerang berkenaan lebih awal daripada sepatutnya kerana bimbang ternakan itu mati jika menunggu lebih lama.

Katanya, kebanyakan nelayan mengadu masalah pencemaran air serta tanah di kawasan kebun kerang menyebabkan ternakan kerang mereka sering mati tanpa sempat mencapai saiz bersesuaian.

"Kalau kita lihat sekarang, kerang bersaiz kecil kerana penternak tidak sanggup menanggung risiko. Benih tidak ada masalah sangat, tetapi masalah timbul selepas ia ditabur untuk mencapai saiz dewasa kerana banyak yang mati.

"Mereka sepatutnya menuai ternakan apabila ia sudah mencapai saiz sekurang-kurangnya 30 milimeter (mm), namun kebanyakan nelayan akan mengambil kerang masing-masing sebaik ia mencecah 20 mm.

"Kalau pada 2010, penternak mampu memperoleh keuntungan sehingga RM30,000 walaupun ketika itu harga sekilogram kerang kira-kira RM1, kini harganya tinggi hingga mencecah RM15 sekilogram tetapi pendapatan nelayan berkurangan kerana jumlah pengeluaran tidak banyak," katanya.

Mohd Fariz berkata, masalah pencemaran air yang tinggi di kawasan kebun kerang, terutama di Sungai Buloh, Jeram dan Sabak Bernam antara punca yang dikatakan mengganggu tumbesaran kerang di kawasan itu.

Selain itu, katanya, penternak juga mendakwa kewujudan kolam udang di kawasan terbabit turut menyumbang kepada pencemaran.

 SEORANG pembantu pasar di Selayang sedang memilih kerang untuk dijual.
SEORANG pembantu pasar di Selayang sedang memilih kerang untuk dijual.

INFO

  • Kawasan diwartakan sebagai kebun kerang oleh kerajaan Selangor, 41,700 hektar.
  • Kawasan yang diusahakan / dilesenkan ketika ini, 9,843.2 hektar.
  • Daerah terbabit penternakan kerang: Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Klang.
  • Jabatan Perikanan Negeri Selangor melaksanakan Projek Kebun Kerang pada 2008.
Berita Harian X