Selasa, 2 Januari 2018 | 8:25pm
KHAIRY bergambar dengan peserta MyCorps: Misi 5 di Afrika pada sesi ramah mesra bersama peserta di Pusat Belia Antarabangsa hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Sukarelawan MyCorps hulur tangan ke Afrika

KUALA LUMPUR: "Saya mahu keluar dari zon selesa, buat sesuatu yang baharu dan bantu Afrika."

Jurugambar akhbar tempatan, Asyraf Rasid, 27, adalah antara 46 sukarelawan MyCorps Afrika yang akan berlepas ke Turkana, Kenya, Khamis ini.

Kumpulan berkenaan akan mengikuti misi kemanusiaan selama dua bulan di empat negara Afrika iaitu Kenya, Sudan, Uganda dan Tanzania.

Asyraf berkata, Turkana adalah tempat paling miskin di Kenya.

"Di situ ada kem pelarian dan kita akan membantu apa yang patut," kata anak sulung daripada dua beradik itu yang mengambil cuti tiga bulan untuk menyertai MyCorps Afrika.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bersama 46 sukarelawan MyCorps Afrika di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras di sini, hari ini.

Aisyah Farhanah Mohamed, 29, menyifatkan MyCorps sebagai peluang melebarkan sayap dalam kerja sukarelawan di peringkat antarabangsa. 

"Kebanyakan yang menyertainya mempunyai pengalaman dalam negara dan kita nak tahu juga masalah di luar negara," katanya yang akan ditempatkan di Tanzania, negara dengan 50 peratus populasinya tiada akses air bersih.

Kerja kemanusiaan bukan benda baharu bagi bekas pegawai komuniti itu kerana pernah membantu mangsa banjir di Kelantan dan Pulau Pinang, selain mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Sara Safeeya Mohamed Ishak, 27, yang akan ke Sudan, berharap misi MyCorps Afrika membawa impak besar kepada komuniti tempatan sepanjang dua bulan di sana.

"Saya harap kami dapat membangunkan projek yang memberi manfaat jangka panjang di lapan lokasi di empat negara ini," kata usahawan roti dan kek berasal dari Gombak, Selangor, itu.

Mahasiswi Ijazah Sarjana Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Suhaiba Mastor, 26, menyertai MyCorps Afrika untuk meneroka kerja sukarelawan dan kemanusiaan di luar zon selesanya.

"Besar maknanya menjadi orang yang memberi. Saya harap apa yang dipelajari dapat dibawa pulang," kata anak kelahiran Jerantut, Pahang itu.

Beliau turut bercadang menjalankan program pendidikan untuk komuniti tempatan di Kampala, Uganda.

Semua sukarelawan ditempatkan di lapan lokasi di empat negara Afrika itu bagi menjalankan program kemanusiaan yang akan ditentukan selepas berada di sana dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

NGO terbabit ialah Islamic Sosial Welfare Organization (ISWO) di Sudan, Muzdalifah Islamic Charitable Organization (MICO) dan Islamic Help di Tanzania, African Foundation For Education and Community Development (AFECOD) dan Al Mobin Foundation di Kenya serta Youth Aid African (YAA) dan Kibuki Community Center (KCOC) di Uganda.

Sementara itu, Khairy dalam amanatnya kepada sukarelawan terbabit berkata, MyCorps meneruskan tradisi Malaysia membantu negara luar sejak 1960-an.

Sambil mengingatkan mereka supaya menjaga nama baik negara, beliau turut menitip pesanan bermakna untuk dijadikan pegangan sepanjang menjalankan kerja kemanusiaan.

"Jika anda berjaya di Afrika, anda akan berjaya di mana saja," katanya.

Malaysia menyertai misi antarabangsa pertama negara melalui Askar Melayu Diraja yang dihantar sebagai tentera pengaman di Congo pada 1960-an di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

17 dibaca
Berita Harian X