Jumaat, 5 Januari 2018 | 4:07pm
KETUA Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membentangkan kertas kerja di Seminar Ancaman Daesh & Istilah Kafir Harbi di Saloma Bistro.

'Pengganas tak berhak pilih destinasi'

PUTRAJAYA: Negara yang menahan suspek pengganas warga asing perlu menghantar individu terbabit ke negara asal dan bukan ke destinasi pilihannya.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setiap negara perlu mematuhi undang-undang antarabangsa yang mengkehendaki suspek dihantar kembali ke negara yang menjadi lokasi pelepasan terakhir.

Katanya, kegagalan segelintir negara mematuhi ketetapan itu menyebabkan kira-kira 50 suspek pengganas Daesh memasuki Malaysia dari 2014 hingga 2017 .

"Ada negara itu yang mana mereka tahan suspek pengganas sebelum memasuki Syria, kemudian beri pilihan ke mana nak pergi.

"Oleh kerana kebanyakannya enggan pulang ke negara asal, ada yang pilih Malaysia memandangkan tidak perlu visa.

"Kira-kira 50 orang daripada mereka sampai ke Malaysia, hampir 30 orang kita tangkap dan usir. Bakinya kita masih kesan kerana mungkin ada yang keluar menggunakan Malaysia sebagai transit.

"Justeru, penting bagi kita dimaklumkan mengenai perkara ini supaya boleh mendapatkan maklumat sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, kebanyakan pengganas asing yang disyaki ke Malaysia adalah anggota Daesh, malah sebahagian besar yang dihantar pulang adalah dari Asia Barat.

"Kita harap masyarakat antarabangsa akan membuat makluman sebelum menghantar suspek ke Malaysia.

"Masalah timbul apabila kita tidak diberitahu. Jika diberitahu, kita akan mengambil tindakan yang perlu," katanya.

Ayob berkata, seramai 105 orang ditahan di negara ini kerana terbabit dalam aktiviti keganasan sepanjang tahun lalu.

Katanya, tangkapan berkenaan menurun berbanding 119 orang pada 2016 berikutan ramai pemimpin pengganas yang mampu merekrut sudah terbunuh.

"Pembabitan pengganas dalam media sosial juga tidak lagi aktif manakala Daesh kehilangan banyak wilayah di Asia Barat," katanya.

Mengulas mengenai militan warga Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang dilaporkan terbunuh di Marawi, Filipina pada Oktober tahun lalu, beliau berkata, pihak berkuasa Filipina belum membuat permohonan rasmi untuk pengesahan identiti Asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam perkembangan lain, Ayob berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap usaha mengekang pembiayaan keganasan, tahun ini.

"Wujud keperluan meningkatkan usaha bagi mengekang penyaluran dana kepada pergerakan Daesh, malah konflik di Syria turut mencetuskan peningkatan pembiayaan keganasan," katanya.

Berita Harian X