Selasa, 9 Januari 2018 | 7:02pm
PENGERUSI Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Komersial MAB, Arved Von Zur Muchlen (tiga dari kiri) turut serta dalam penerbangan sulung pesawat baru Malaysia Airlines Berhad (MAB), A350 XWB ke Kota Kinabalu yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). - Foto Malai Rosmah Tuah

Pesawat baharu A350 untuk laluan KL - London

KOTA KINABALU: Semua enam pesawat baharu A350 XWB yang ditempah Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan digunakan untuk laluan Kuala Lumpur - London bagi menggantikan pesawat lebih besar jenis A380 yang digunakan syarikat itu bagi laluan berkenaan ketika ini.

Ketua Pegawai Komersial MAB, Arved Von Zur Muchlen, berkata ketika ini belum ada perancangan untuk menggunakan pesawat itu untuk laluan destinasi lain.

"Kita guna untuk laluan penerbangan ke London, tiada destinasi lain tetapi akan kaji dari semasa ke semasa untuk mengembangkan laluan ke destinasi lain, khususnya Eropah," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Muchlen tiba dengan pesawat pertama A350 XWB yang diterima MAB pada November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada kira-kira jam 4 petang tadi.

Turut serta dalam penerbangan sulung pesawat berkenaan ke Kota Kinabalu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Muchlen berkata, baki lima lagi pesawat A350 XWB dijangka diterima sepenuhnya menjelang separuh pertama tahun ini.

Katanya, pesawat itu digunakan bagi menggantikan A380 untuk laluan Kuala Lumpur - London kerana lebih ekonomik dan bersesuaian dengan kapasiti penumpang MAB.

"Kapasiti A380 agak tinggi bagi Malaysia walaupun kos agak murah, tapi kita perlu penuhkan setiap hari, itu cabaran yang besar.

"Selain itu, kita berdepan saingan yang banyak bagi laluan ke London daripada syarikat penerbangan lain. Jadi kita rasa A350 lebih baik," katanya.

Beliau berkata, pesawat A380 yang digantikan dengan A350 akan digunakan untuk penerbangan catar atau sewa khas bagi aktiviti umrah.

Pesawat baharu A350 yang mempunyai 286 tempat duduk, termasuk empat tempat duduk Kelas Pertama, 35 Kelas Perniagaan dan 247 Kelas Ekonomi itu dilengkapi dengan produk kabin terkini seperti ruang tempat duduk lebih luas bagi Kelas Ekonomi, pengalaman hiburan dalam pesawat terbaharu dan kemudahan WiFi.

Ia dijadualkan memulakan penerbangan Kuala Lumpur - London pada 15 Januari ini.

Berita Harian X