Selasa, 9 Januari 2018 | 8:26pm

PDRM umum pertukaran, kenaikan pangkat 19 pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 19 pegawai kanan berkuat kuasa 12 Februari depan.

Mendahului senarai adalah Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Kekosongan jawatan beliau akan diisi oleh Datuk Zainal Abidin Kasim yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad, berkata turut bertukar adalah Komander Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff yang akan menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

"Senior Asisten Komisioner (SAC) Pentadbiran, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Hashim Abd Jalil akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

"Ketua Penolong Pengarah JIPS (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, SAC Hashim Ali akan menggantikan tempat Zainal Abidin sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

"Jawatan Hashim pula akan diambil alih oleh Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner [email protected] Shafien Mamat juga memangku pangkat DCP," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Asmawati berkata, dua Timbalan Ketua Polis, iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Baharudin Mat Taib dan Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Yusuf Unis masing-masing akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam, Selangor dan Daerah Bentong, Pahang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner (ACP) dan Superintendan.

Turut bertukar adalah Superintendan Kesejahteraan Organisasi, JIPS Bukit Aman, Superintendan Ahmad Tarmizi Shaari yang akan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Perak dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan Sarawak, Asisten Superintendan Sofian pula akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Meradong, manakala Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Sarikei, Sarawak, ACP Abdul Samat Amit akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Lubok Antu dengan masing-masing memangku pangkat DSP.

Katanya lagi, pertukaran turut membabitkan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Ipoh, Perak, Deputi Superintendan Sharuddin Wan Omar yang akan bertugas sebagai Ketua JSPT Pulau Pinang dengan memangku pangkat Superintendan.

"Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, JSJ Pulau Pinang, Superintendan Khairuddin Wan Idris juga bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebagai Ketua JSJ dengan memangku pangkat ACP.

"Superintendan Saini Bongkek yang kini menjawat jawatan Penolong Pengarah (Kepolisan Am/Dasar) Cawangan Kepolisan Am/Dasar Bahagian Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman akan bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah PGA, Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP," katanya.

Berita Harian X