Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:29pm
USTAZ Murtadza meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru.
JENAZAH dibawa keluar dari rumah di Kampung Bakar Kapor ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Penghulu Him untuk dikebumikan. - Foto Nor Farhani Che Ad
ORANG ramai yang hadir pada memberi penghormatan terakhir kepada arwah pendakwah bebas, Ustaz Murtadza. - Foto Nor Farhani Che Ad

Ustaz Murtadza meninggal dunia

IPOH: Selepas 10 hari bertarung nyawa, pendakwah bebas, Mohd Murtadza Mohd Yussof, 30, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Hospital Taiping jam 12.30 tengah hari tadi.

Mohd Murtadza atau dikenali Ustaz Murtadza meninggal dunia di sisi keluarga terdekatnya selepas dimasukkan ke hospital itu akibat kemalangan pada 3 Januari lalu.

Adik kepada Ustaz Murtadza, Mohamad Yaakub Yusra, 27, berkata abangnya koma selepas kemalangan itu.

Katanya, pihak doktor memaklumkan Ustaz Murtadza yang parah berdepan jangkitan kuman sehingga mengakibatkan komplikasi pada paru-paru.

"Saya mohon kepada semua supaya dipermudahkan urusan dan berdoa semoga beliau ditempatkan bersama-sama orang-orang soleh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah dibawa pulang ke Kampung Bakar Kapor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Penghulu Him, Sungai Petani, Kedah petang ini.

Allahyarham Mohd Murtadza meninggalkan seorang balu Nurulana Shafie serta dua anak lelaki, Abdullah Faqih, 2 dan Abdul Rahmat, 4.

Dalam kemalangan itu, Mohd Murtadza yang memandu kenderaan manakala penumpang depan, Mohamad Wadi Annuar Ayub parah di beberapa anggota badan sementara rakannya, Muhd Hambali Zulkifli, 28, serta bapa kepada Mohd Murtadza, Mohd Yussof Ahmad, 62, kedua-duanya penumpang belakang turut cedera.

Difahamkan keadaan Ustaz Wadi dilaporkan bertambah baik dan menjalani rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua penumpang hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital.

Sementara itu, di Sungai Petani, jenazah Ustaz Murtadza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Penghulu Him, kira-kira jam 7 malam tadi.

Lebih 500 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Ustaz Murtadza yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Hospital Taiping jam 12.30 tengah hari ini.

Jenazah yang dibawa dari Hospital Taiping tiba di rumahnya di Kampung Bakar Kapor jam 4.30 petang sebelum dimandi dan dikafankan.

Jenazah kemudian dibawa ke masjid jam 5.30 petang sebelum disolatkan, dengan diimamkan Syeikh Muhammad Kurayyim Rojih dari Yaman.

Isteri arwah Nurul Ana Shafie, 30, ketika ditemui selepas solat jenazah berkata, beliau yang baru sampai ke hospital pagi tadi untuk mengambil giliran menjaga suami mendapati suami sudah dalam keadaan tenat.

"Sebelum ini, keadaan suami stabil namun pagi tadi, saya dimaklumkan kadar oksigen arwah menurun secara tiba-tiba.

"Sejam selepas saya sampai di hospital, suami disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau reda dengan pemergian arwah suaminya yang meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari mengikuti program dakwah di Acheh, Indonesia.

577 dibaca
Berita Harian X