Ahad, 14 Januari 2018 | 2:47pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (tiga dari kiri) menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat Masjid Tanah. - Foto Norizzah Baharudin

Malaysia sambut baik visa pelancong bagi wanita

[email protected]

ALOR GAJAH: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyambut baik kebenaran masuk ke Arab Saudi menggunakan visa pelancong bagi wanita berusia 25 tahun dan ke atas.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata sebelum ini hanya wanita berusia 45 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan masuk ke negara terbabit tanpa ditemani mahram, namun perkhabaran ini memberikan banyak maklum balas positif.

"Hal ini amat dinantikan oleh semua pihak, terutama golongan muda yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bukan sahaja untuk mengerjakan umrah malah boleh memanfaatkan visa pelancong untuk melawat tapak sejarah Islam dan mengenali kebudayaan di sana.

"Saya bersyukur dengan kenyataan yang dikeluarkan SCTH menerusi Arab News ini sekali gus menunjukkan sikap terbuka Arab Saudi untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor pelancongan," katanya pada Program Maulidur Rasul Parlimen Masjid Tanah di Masjid Jamek Putra Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) itu antara lain memaklumkan visa pelancong bagi wanita berusia 25 tahun dan ke atas itu berfungsi sebagai visa masuk tunggal dan sah selama 30 hari merangkumi mereka yang sudah berada di Arab Saudi termasuk yang bekerja, melancong, menunaikan haji dan umrah.

Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif Program Transformasi Kebangsaan Arab Saudi 2020 untuk mencapai Wawasan 2030 yang memberi tumpuan kepada industri pelancongan.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata pihaknya berharap pengesahan dan kesahihan butiran akhir mengenai kenyataan ini akan dimaklumkan secara rasmi oleh Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, satu program Masjid Tanah Eco Run and Ride akan diadakan pada 10 Mac ini bertempat di Kompleks Sukan Masjid Tanah dan akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin.

Mas Ermieyati berkata, dijangkakan seramai 10,000 penyertaan akan diterima membabitkan tiga kategori iaitu Eco Run, Eco Ride dan Fun Run dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM60 bagi larian dan RM70 untuk kategori berbasikal.

"Pendaftaran akan dibuka hingga 30 Januari ini bagi memastikan persediaan rapi dapat dilakukan sebelum program berlangsung secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup sihat kepada masyarakat," katanya.

Berita Harian X