Ahad, 14 Januari 2018 | 5:03pm
PENGARAH Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada masyarakat Rohingya pada misi kemanusiaan Kumpulan Jakel di kem Balukhali. - Foto Aswadi Alias
SEBAHAGIAN petugas mengangkat beras untuk diagihkan kepada masyarakat Rohingya pada misi kemanusiaan Kumpulan Jakel di kem Balukhali. - Foto Aswadi Alias
PENGARAH Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel beramah mesra dengan warga emas masyarakat Rohingya pada misi kemanusiaan Kumpulan Jakel di kem Balukhali. - Foto Aswadi Alias

'Assalamualaikum' sambut misi kemanusiaan Jakel

COX'S BAZAR, Bangladesh: Laungan 'Assalamualaikum' daripada ribuan pelarian Rohingya, menyambut kehadiran misi kemanusiaan Kumpulan Jakel di kem Balukhali, di sini yang tiba bagi menyampaikan sumbangan.

Rasa syukur dan gembira jelas terpapar pada wajah komuniti tertindas itu yang sabar menanti rombongan misi itu yang disertai tujuh individu termasuk dua wakil media, sebaik mereka menjejakkan kaki di kem didiami kira-kira 90,000 etnik Rohingya.

Kumpulan Jakel selesai melaksanakan misi kemanusiaannya semalam, selepas menyampaikan sumbangan terdiri daripada makanan, barangan wanita serta keperluan lain kepada pelarian Rohingya di kem pelarian itu.

Misi selama dua hari bermula kelmarin diketuai Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, adalah lanjutan daripada program Jakel Charity Run For Rohingya 2017 pada 10 Disember tahun lalu.

Menerusi program itu, Kumpulan Jakel berjaya mengumpul RM700,000 daripada 7,000 peserta, disamping sumbangan syarikat tekstil itu serta beberapa pihak lain.

Mohamed Faroz berkata, misi menyampaikan sumbangan itu, adalah bagi menunaikan janjinya sebelum ini untuk menghantar sendiri sumbangan orang ramai kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

Katanya, menerusi kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Humanitarian Relief Foundation (IHH) dan Small Kindness Bangladesh (SKB), proses menyampaikan sumbangan berjalan lancar.

"Kami menyampaikan sumbangan antaranya beras, dhal, minyak masak, gula, tepung untuk 10,000 keluarga. Sumbangan ini mampu bertahan kira-kira dua hingga tiga minggu bagi satu keluarga.

"Sumbangan lain termasuklah 10,000 pakaian musim sejuk, selimut, ubat-ubatan serta barangan yang sangat diperlukan iaitu tuala wanita, selain 1,000 pek makanan.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada misi ini, dan kini segala sumbangan itu sampai dengan selamat dan dimanfaat sepenuhnya," katanya.

Lebih 650,000 pelarian Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar, dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos tahun lalu, bagi mengelak daripada terus dizalimi tentera Myanmar.

Mohamed Faroz berkata, mereka turut bekerjasama dengan IHH bagi membina sekolah untuk kanak-kanak dan klinik perubatan, selain tangki air dan tempat wuduk yang mampu dimanfaatkan hingga 3,000 pelarian Rohingya di kem Balukhali.

"Saya tidak menyangka apabila melihat sendiri kesukaran dan kedaifan hidup mereka yang amat menyayatkan hati. Mereka amat memerlukan bantuan untuk teruskan hidup.

"Saya juga terkejut dan sayu melihat mereka yang terpaksa hidup bersama hingga 10 orang dalam rumah sempit yang hanya dibina dengan bumbung serta dinding plastik dan berlantaikan tanah.

"Masyarakat Islam di Malaysia perlu terus memberi sumbangan dan bantuan melalui saluran masing-masing kerana etnik Rohingya di sini memerlukan bantuan makanan dan keperluan lain secara berterusan," katanya.

Berita Harian X