Khamis, 18 Januari 2018 | 6:07pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan selepas memberi taklimat kemas kini mengenai Industri Automotif Malaysia 2017 dan prospek Industri Automotif Malaysia 2018 turut bersama Pengerusi Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Phang Ah Tong (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutid Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Madani Sahari (kanan) di Menara MITI. - Foto Mohd Yusni Ariffin

NAP 2018 diumum Julai

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP 2018), Julai depan, dengan beberapa pembaharuan akan ditekankan selaras perkembangan pasaran automotif domestik dan global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kajian semula NAP mengambil kira beberapa aspek penting dalam persekitaran industri yang dianggap penting kepada negara, iaitu mobiliti, data besar, kenderaan generasi baharu, gaya hidup dan perhubungan.

"Kajian semula NAP adalah wajar kerana mengambil kira perkembangan industri.

"Yang saya mahu tekankan, automotif ialah antara industri penting kepada negara kerana membabitkan lebih 700 ribu pekerja daripada keseluruhan ekonomi 15 juta pekerja dan menyumbang empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu," katanya kepada media selepas membentangkan perkembangan industri automotif 2017 dan unjuran 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Phang Ah Tong, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Kajian semula NAP yang bermula pertengahan tahun lalu turut mengambil beberapa bulan dalam aspek perundingan dengan pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, NAP 2018 juga mengambil kira cabaran dihadapi pasaran automotif negara yang dianggap matang berbanding negara lain di rantau ini.

"MAI memantau perkembangan ini kerana kerajaan mahu pasaran automotif negara kekal berkembang dalam segenap aspek, selain mampu menarik lebih banyak pelaburan," katanya.

Beliau berkata, selaras NAP 2018, kerajaan sudah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM3.99 bilion dan pemasangan tempatan mencecah RM15 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022.

"Kerajaan amat menggalakkan syarikat tempatan menjalinkan kerjasama strategik dengan penyedia teknologi utama dunia sebagai langkah menjadikan mereka sebahagian daripada sistem automotif global," katanya.

NAP diperkenalkan pada 2014 di mana kerajaan memberi penekanan terhadap tiga aspek, iaitu pengurangan karbon emisi, keselamatan dan cekap tenaga.

Menerusi NAP 2014, Mustapa berkata, industri automotif Malaysia berjaya mencatat kadar penembusan kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada 52 peratus tahun lalu, meningkat daripada 42.8 peratus pada 2016.

"Kami menyasarkan kadar penembusan EEV mencapai 60 peratus tahun ini selaras NAP yang berjaya menggalakkan pengeluaran EEV untuk pasaran tempatan," katanya.

Ketika ini, 19 pengeluar peralatan asal (OEM) menawarkan EEV kepada pasaran Malaysia.

Tahun lalu, sebanyak 58 model baharu atau dipertingkatkan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan 90 peratus daripadanya dikelaskan sebagai EEV.

MAI menjangkakan 70 pelancaran baharu sepanjang tahun ini dengan 95 peratus daripadanya ialah EEV.

INFO

Sasaran industri automotif 2018

* Jumlah jualan kenderaan (TIV) - 530,000 hingga 535,000

* Jumlah pengeluaran industri (TPV) - 586,000 hingga 591,000

* 4.5 peratus - sumbangan kepada KDNK

Berita Harian X