Sabtu, 20 Januari 2018 | 6:29pm
TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid menunjukkan laporan polis selepas membuat laporan berhubung isu dakwaan pembangkang mengaitkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyalahguna kuasa selaku Menteri Pertahanan untuk memindahkan pengundi ke Kem Paloh Kluang, di Balai Polis Kampung Gajah, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

'Fitnah melampau!'

KLUANG: UMNO Bahagian Sembrong kesal dengan dakwaan pembangkang mengaitkan Ahli Parlimennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyalahguna kuasa selaku Menteri Pertahanan untuk memindahkan pengundi ke Kem Paloh Kluang.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid, menggesa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak tegas terhadap pihak yang membuat tuduhan liar berkenaan.

Katanya, ia termasuk tindakan pembangkang yang didakwa menggunakan dron bagi merakam kawasan sensitif dan disebarkan laman sosial, sekali gus mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, fitnah yang dilemparkan itu melampau hingga menjejaskan kredibiliti Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, semata-mata demi kepentingan politik sempit pembangkang.

"Tiada perpindahan pendaftaran atau pengundi dilakukan ke kem ATM di Paloh, Sembrong, malah kem berkenaan masih peringkat awal pembinaan dan tidak menepati kenyataan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong daripada parti DAP," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat laporan berhubung isu berkenaan di Balai Polis Kampung Gajah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan menerima permohonan baharu daripada pihak tentera untuk mendaftar anggota sebagai pemilih atau membuka lokaliti baru di Kem Paloh dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku keempat 2017.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata dakwaan pihak tertentu kononnya wujud pemilih baharu dalam kalangan anggota tentera dan pasangan mereka didaftarkan di Kem Paloh yang dipindahkan dari Kem Mahkota dalam Parlimen Sembrong adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, pihak berkepentingan boleh membuat semakan pada Rang DPT bagi Suku Keempat Tahun 2017 yang sedang dipamerkan bermula pada 17 sehingga 30 Januari 2018 di tempat pameran berhampiran.

Berita Harian X