Ahad, 21 Januari 2018 | 5:51pm
SAUYAH Konek bersama anak lelakinya, Mazlan Hasan Basri ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Khalifah, Sabak Bernam. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Kasih ibu tidak bertepi

SABAK BERNAM: Seorang warga emas di Kampung Tok Khalifah di sini, tidak pernah mengeluh walau terpaksa menghabiskan sisa hidup menjaga anaknya yang lumpuh sejak 22 tahun lalu.

Sauyah Konek, 76, berkata anak lelakinya, Mazlan Hasan Basri, 50, yang masih bujang hanya terlantar di katil selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Katanya, setiap hari dengan kudrat yang masih bersisa, dia menguruskan segala keperluan Mazlan termasuk menyuapkan makanan, mencuci najis, mandi dan menukar pakaian.

"Walaupun sudah lanjut usia dan tak lagi sekuat dulu, makcik tetap cekal untuk uruskan anak yang terlantar.

"Mazlan hilang upaya kekal pada tahun 1996 selepas motosikal ditunggangnya terlanggar wayar telefon yang merentangi jalan raya berhampiran rumah.

"Dia tersangkut pada wayar itu lalu tercampak ke bahu jalan," katanya.

Sauyah berkata, Mazlan yang sebelum itu bekerja mengambil upah memotong rumput kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan dan selepas dibedah anak keempat daripada lima beradik itu disahkan patah tulang punggung.

"Makcik risau bagaimana kalau makcik sudah tiada di dunia ini, siapa lagi yang mampu nak uruskan Mazlan?

"Makcik bukanlah orang senang. Bayangkanlah, kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

"Kami makan ala kadar saja, kadang-kadang tak berlauk pun, malah pernah juga makan nasi goreng dari pagi sampai ke malam," katanya.

Sauyah berkata, dia dan Mazlan juga menetap di rumah pusaka peninggalan arwah suaminya, namun keadaan rumah itu kini terlalu daif.

"Bumbung rumah ini banyak bocor di sana sini. Nak ganti memang tak mampu. Makcik terpaksa tadah air guna besen bila hujan lebat," katanya.

Pun begitu, Sauyah berkata, dia bersyukur kerana sering dikunjungi pemimpin setempat termasuk Koordinator Pembangunan Persekutuan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, Salehuddin Mohd Iskan.

"Makcik berterima kasih atas keprihatinan pimpinan kampung dan UMNO Bahagian Sabak Bernam yang sering membantu.

"Harapan makcik, JKM dapat naikkan lagi kadar bantuan bulanan supaya dapatlah kami gunakan untuk perbelanjaan keperluan dapur," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulur sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (1012341000080171) di atas nama Sauyah Konek atau menghubunginya di talian 019-2991195.

Berita Harian X