Selasa, 23 Januari 2018 | 10:32pm
PASUKAN Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) telah merawat 12,600 pelarian etnik Rohingya di klinik bergeraknya di wilayah Cox's Bazar, Bangladesh, sejak Oktober tahun lalu. - Foto IHSAN IMARET
PASUKAN Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) telah merawat 12,600 pelarian etnik Rohingya di klinik bergeraknya di wilayah Cox's Bazar, Bangladesh, sejak Oktober tahun lalu. - Foto IHSAN IMARET

IMARET rawat 12,600 pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) sudah merawat 12,600 pelarian Rohingya di klinik bergeraknya yang dibuka di kem pelarian di wilayah Cox's Bazar, Bangladesh.

Pertubuhan kemanusiaan itu menghantar empat pasukan sukarelawan terdiri daripada lapan doktor dari Oktober lalu hingga 16 Januari 2018 dengan penumpuan kepada rawatan perubatan dan kesihatan kepada pelarian terjejas.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi berkata, klinik bergerak pertubuhan itu tertumpu di kem pelarian Thaingkhali bersebelahan dengan kem utama Kutupalong dan Balukhali, kira-kira sejam dari Cox's Bazar.

Katanya, antara rawatan kesihatan yang dijalankan di klinik bergerak ialah rawatan pesakit luar, rawatan kes sakit akut, rawatan luka ringan, rawatan ibu mengandung dan rujukan kepada Hospital Medan Malaysia di kawasan itu.

"Jumlah pesakit dirawat setakat 16 Januari lalu seramai 12,600 orang. Majoriti pesakit itu wanita dan kanak-kanak dengan 15 peratus ibu mengandung dan 20 peratus kanak-kanak bawah lima tahun," katanya kepada BH hari ini.

Lebih 650,000 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari barat Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu kini berlindung di penempatan dan kem pelarian berbukit di Cox's Bazar, kira-kira tiga jam dari sempadan negara itu.

Malaysia antara sebilangan kecil negara yang diberi kebenaran membuka hospital medan di kawasan kem pelarian itu sejak Disember lalu dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut membuka klinik bergerak dan statik.

Dr Ahmad Munawwar berkata, pasukan kelima IMARET yang diketuai Dr Jeffrey Abu Hassan kini berada di Bangladesh untuk meneruskan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada pelarian Rohingya termasuk di Kutupalong.

Katanya, IMARET dengan kerjasama NGO antarabangsa turut mendirikan sebuah kompleks kesihatan di kem pelarian Neo-Kutupalong yang antara lain menyediakan rawatan ibu mengandung serta pusat bersalin berisiko rendah.

"Memandangkan keperluan kesihatan tinggi, IMARET akan terus menghantar doktor sukarelawan ke kem pelarian Rohingya di wilayah Cox's Bazar sekurang-kurangnya untuk tiga bulan akan datang, InsyaAllah," katanya.

Berita Harian X