Rabu, 24 Januari 2018 | 8:06pm
PENGERUSI Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembanguanan Kemahiran (FeMAC), Ts. P. Sailanathan (enam dari kiri) bergambar bersama ahli-ahli exco FeMAC pada sidang media Solidariti Pray For Skill Malaysia selepas Sesi Dialog Ahli FeMAC bersama Pengerusi PTPK dan Ketua Pengarah JPK di Institut Latihan Perindustrian Kuchai Lama, Jalan Kuchai Lama. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hasrat FeMAC lahirkan pekerja berkemahiran tinggi gagal

KUALA LUMPUR: Pengurangan dana sehingga 50 peratus kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memberi kesan besar kepada usaha kerajaan melahirkan masyarakat berkemahiran dan berpendapatan tinggi menerusi Program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah (FeMAC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia, P. Sailanathan, berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-10, PTPK menerima peruntukan sebanyak RM400 juta tetapi jumlah itu berkurangan sehingga RM175 juta pada tahun ini.

"Sebelum ini, peruntukan itu tidak menimbulkan masalah bagi kuota pemberian pinjaman kepada 350 institusi kemahiran bertauliah swasta dari seluruh negara.

"Bagaimanapun, peningkatan sebanyak 470 institusi kemahiran swasta, tetapi dengan peruntukan sebanyak RM175 juta, ia memang menjejaskan peluang pelajar mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos pendidikan mereka di institusi kemahiran di negara ini.

"Masalah ini akan menjejas pengeluaran lebih separuh daripada 25,000 pelatih teknikal yang berkemahiran setahun.

"Ini dibimbangi memberi impak kepada menyokong hasrat kerajaan yang mensasarkan sebanyak 35 peratus tenaga kerja mahir di lahirkan menjelang 2020 tidak akan dicapai," katanya yang ditemui selepas Program Dialog Bersama Pengerusi PTPK dan Ketua Pengarah JPK di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah PTPK, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman dan Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman.

Sailanathan berkata, seiring hasrat kerajaan menuju negara maju 2020, kira-kira 100,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan yang menjurus kepada tenaga kerja mahir yang memiliki kemahiran tinggi.

Justeru, katanya, FeMAC memohon kerajaan mempertimbangkan peruntukan dana tambahan bagi meringankan beban pelajar.

36 dibaca
Berita Harian X