Rabu, 24 Januari 2018 | 8:18pm
Sukarelawan Mycorps Afrika bersama Pascal Lucas (lima kiri) antara penerima panel solar sumbangan Suncrox Solar Malaysia menerusi misi kemanusiaan Mycorps di Kampung Gazi, Kwale, Kenya. - Foto Ihsan Mycorps Afrika

Sukarelawan Mycorps agih 160 panel solar di Afrika

KUALA LUMPUR: Sudah bertahun-tahun rumah Riziki Mohamed Mabruki yang diperbuat daripada kayu dan lumpur tidak mempunyai elektrik, namun ia bakal menjadi sejarah dengan kehadiran sukarelawan Mycorps Afrika ke Kwale, Kenya.

Bermula minggu lalu, seramai enam sukarelawan Mycorps Afrika yang ditempatkan di lokasi pedalaman itu mula mengagihkan panel solar sumbangan Suncrox Solar Malaysia kepada penduduk tempatan termasuk pelarian dalaman (IDP).

Ia sebahagian daripada 160 panel solar sumbangan syarikat tempatan itu kepada Mycorps Afrika, platform kesukarelawanan antarabangsa di bawah Kementerian Belia dan Sukan, untuk penerima di Kenya, Uganda, Sudan dan Tanzania.

"Bukan hanya terangkan rumah, tetapi masa depan anak saya," kata Riziki, 39, ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara tiga tahun hingga 18 tahun di Gazi, sebuah perkampungan tepi laut di wilayah pedalaman Kwale.


Ibu tunggal, Riziki Mohamed Mabruki mendengar penerangan sukarelawan Mycorps Afrika, Azam, cara penggunaan panel solar sumbangan Suncrox Solar Malaysia di Kampung Gazi, Kwale, Kenya. - Foto Ihsan Mycorps Afrika

Riziki berkata beliau amat gembira kerana anaknya kini boleh mengulangkaji pelajaran pada waktu malam, impian yang sudah lama ditunggu-tunggu keluarga miskin itu di Kenya itu.

Seramai 3.5 juta rakyat Kenya tidak cukup makan.

Jurucakap kumpulan Mycorps Afrika di Kwale, Tengku Ainifarihin Tengku Abdullah berkata ibu tunggal itu antara penerima awal panel solar itu ketika kumpulannya membuat penilaian program kemanusiaan yang akan dilaksana kelak.

"Panel solar sumbangan Suncrox Solar Malaysia itu dilengkapi dengan lampu mentol, kabel USB dan power bank. Kita beri tunjuk ajar kepada penerima supaya mereka boleh guna," katanya yang tiba di Kwale lebih dua minggu lalu.

Selain Riziki, turut menerima panel solar itu ialah keluarga Pascal Lucas, 40, seorang ketua rumah yang mencari rezeki sebagai nelayan pesisir pantai Kenya.

Pascal yang mempunyai tiga anak perempuan berusia enam hingga 16 tahun itu juga amat berterima kasih dengan sumbangan panel solar dari rakyat Malaysia itu.

Tengku Ainifarihin berkata antara penerima lain ialah adik beradik warga emas, Mwanamis dan Bibi Bakari yang berusia dalam lingkungan 70-an dari Kampung Makongeni yang terletak tidak jauh daripada Kampung Gazi di wilayah Kwale.

"Mwanamis dan Bibi Bakari tiada ahli keluarga lain. Mereka tidak bekerja, rumah mereka amat kecil. Dapur dan tandasnya serba kekurangan dan terletak di luar rumah," kata Tengku Ainifarihin terkesan dengan kehidupan warga Afrika itu.

Kedua-dua warga emas yang amat gembira dengan sumbangan panel solar itu hanya bergantung kepada ihsan penduduk kampung.

Perkembangan 47 sukarelawan Mycorps Afrika boleh diikuti di Facebook Mycorps dan sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (MBB: 0141 3242 4724) dengan kod rujukan MCAFRICA.  

Berita Harian X