Sabtu, 27 Januari 2018 | 6:34pm
PELAKON, Fizz Fairuz bersama isteri, Almy Nadia selepas menerima penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar Pekan, hari ini. - Foto Asyraf Sawal

'Harap mereka faham...'

PEKAN: "Saya sedar gelaran ini adalah tanggungjawab berat untuk dilaksanakan dan saya akan menjaga amanah ini sebaik-baiknya."

Ikrar itu diungkapkan pelakon Fizz Fairuz selepas menerima penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada dirinya yang banyak terbabit dalam pelbagai aktiviti pelancongan di Pahang.

"Saya anak jati Raub dan mungkin orang tidak tahu. Pada masa sama, saya banyak buat kerja untuk promosi pelancongan dan budaya negeri ini.

"Saya juga menjadi ikon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan diharapkan mereka faham mengapa saya diberikan pengiktirafan ini," katanya.


TENGKU Abdullah mengurniakan Pingat Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Fizz Fairuz sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di Pekan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Beliau ditemui pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar Pekan, dekat sini, hari ini.

Fizz Fairuz yang juga Pengarah Urusan Rain Maker Creation Sendirian Berhad, adalah antara 196 penerima darjah kebesaran dan pingat daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mendahului senarai penerima pingat pada majlis berkenaan ialah adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Nor Akmar Sultan Abu Bakar yang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri bersama 20 individu lain.

Berita Harian X