Ahad, 28 Januari 2018 | 3:07pm

300 pelajar kongsi satu mushaf

KUALA LUMPUR: Hanya satu mushaf Al-Quran yang suduh lusuh dan koyak dikongsi lebih 300 pelajar.

Namun, kekurangan itu tidak sesekali menghalang pelajar madrasah di Ukunda pedalaman Kwale, Kenya daripada mempelajari kalam Allah.

Dalam keadaan serba daif, kebanyakan anak keluarga miskin itu menjadi huffaz (penghafal al-Quran) ketika Madrasah Irsyad di Ukunda itu hanya mempunyai dua bilik darjah sempit, dengan lantai simennya berlopak dan tidak beralas.

Realiti itu disaksikan enam sukarelawan Mycorps Afrika di Kwale yang menjalankan beberapa projek kemanusiaan, antaranya wakaf al-Quran untuk menyediakan sekurang-kurangnya 400 mushaf untuk anak Afrika itu.

Sukarelawan Mycorps Afrika, Tengku Ainifarihin Tengku Abdullah, berkata keadaan di madrasah itu amat daif dan mempunyai empat meja dan kerusi yang terpaksa dikongsi, selain ketiadaan mushaf al-Quran yang cukup. 

Katanya, kebanyakan pelajar hanya mempunyai muqadam dan terpaksa berkongsi mushaf Al-Quran yang sudah lusuh.

"Kelas juga terlalu sempit dan berlopak. Ada pelajar duduk, ada berdiri dan mereka ambil giliran untuk duduk di atas empat kerusi dan meja," katanya menyatakan dia sebak ketika kali pertama tiba di madrasah itu.


KEADAAN daif anak-anak Afrika di Madrasah Irsyad di Ukunda di pedalaman Kwale, Kenya. Mereka hanya mempunyai satu mushaf Al-Quran lusuh yang dikongsi bersama dan hanya mempunyai muqadam. Sukarelawan Mycorps Afrika lancar kempen wakaf Al-Quran untuk mereka sehingga 18 Februari depan. Foto ihsan Mycorps Afrika

Mualim atau guru yang mengajar di madrasah itu memberitahu Tengku Ainifarihin bahawa mereka hanya mempunyai satu mushaf al-Quran, namun keadaan itu langsung tidak menghalang mereka menekuni agama.

Tengku Ainifarihin, 27, yang juga pengurus perhubungan awam korporat di sebuah syarikat swasta seorang sukarelawan Mycorps yang ditempatkan di Kwale, Kenya.

Projek itu hasil kerjasama Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan pertubuhan bukan kerajaan Kenya, African Foundation of Education and Community Development.

Lima sukarelawan lain Syaiful Azam Saari (arkitek), Mohamad Khairul Jamain (pengembara sepenuh masa), Fadilah Sulaiman (guru Bahasa Inggeris), Shuhaida Mohammad (usahawan) dan Afishah Azman Shah, yang juga guru Bahasa Inggeris.

Pihak ingin membantu projek wakaf al-Quran RM40 senaskah itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun MAHAR di CIMB Islamic: 8602599742 dengan kod rujukan: WakafQuran. Tarikh akhir sumbangan 18 Februari ini.

Seramai 47 sukarelawan Mycorps Afrika yang juga platform pembangunan sukarelawan muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan berada di Kenya, Uganda, Sudan dan Tanzania hingga Mac ini untuk menjalankan kerja kermanusiaan di benua Afrika.

KEADAAN daif anak-anak Afrika di Madrasah Irsyad di Ukunda di pedalaman Kwale, Kenya. Mereka hanya mempunyai satu mushaf Al-Quran lusuh yang dikongsi bersama dan hanya mempunyai muqadam. - Foto ihsan Mycorps Afrika
SUKARELAWAN Mycorps Afrika, Tengku Ainifarihin ketika bersama-sama pelajar di Madrasah Irsyad di Ukunda, Kwale. Mycorps Afrika dan MAHAR melancarkan kempen wakaf Al-Quran untuk pelajar madrasah itu yang terpaksa berkongsi satu mushaf Al-Quran untuk lebih 300 pelajarnya Foto ihsan Mycorps Afrika
Berita Harian X