Rabu, 31 Januari 2018 | 10:30am
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan dan kunjungan mesra ke Batu Caves Kuala Lumpur, sempena perayaan Thaipusam. - Foto Syarafiq Abd Samad

TPM raikan kemeriah Thaipusam di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi ini, mengadakan lawatan dan kunjungan mesra ke Batu Caves di sini, sempena perayaan Thaipusam disambut meriah di seluruh negara hari ini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri, jam 9.50 pagi bagi merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan perayaan tradisi masyarakat Hindu itu.

Ahmad Zahid tiba dengan berpakaian tradisi masyarakat India 'kurta' berwarna turquoise hijau, disambut Pengerusi Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah serta Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun Dr S Samy Vellu dan Timbalan Presiden MIC, Senator Datuk SK Devamany.

Kehadiran beliau juga nyata memeriahkan lagi suasana sambutan dengan orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar dan bersalaman dengan pemimpin nombor dua negara itu.

Sebaik tiba di pentas utama bangunan pengurusan Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melambaikan tangan kepada orang ramai dan pengunjung yang hadir.

Sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2015, ini adalah kunjungan kedua beliau ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam.

Sementara itu, kemeriahan Thaipusan tahun ini menyaksikan ribuan masyarakat pelbagai kaum hadir bagi berkongsi kemeriahan sambutan Thaipusam, selain ada yang hadir untuk merakam gambar mengenai keunikan perayaan ini.

Di Malaysia, perayaan sambutan Thaipusam dirai dengan penuh meriah setiap tahun sejak 128 tahun lalu.

Batu Caves yang menjadi tempat utama sambutan perayaan juga menjadi antara lokasi pelancongan utama bagi pelancong luar setiap kali berkunjung ke sini pada Februari.

Berita Harian X